Tuesday, May 13, 2008

MP TIDAK BERMISI

MP Kota Melaka (DAP) ini banyak menumpukan kepada isu-isu yang berlaku di Melaka termasuklah projek menara Taming Sari, Taman Kampung Lapan dan pejabat UMNO di Jasin. MP ini sebenarnya patut memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih besar (nasional) dan bukannya isu remeh-temeh seperti skru hilang dan lain-lain lagi. Ini sungguh mengecewakan kerana dewan hendak mendengar syor-syor dan komen-komen yang boleh membawa Melaka ke tahap antarabangsa supaya boleh meningkatkat bilangan pelancong-pelancong supaya dapat meningkatkan taraf hisup warga Melaka.

Apa yang ditimbulkan oleh beliau ini sepatutnya dibawa di peringkat DUN dimana ahli-ahli DUN memberi tumpuan khusus supaya memberi peluang ahli dewan rakyat mendengar pandangan-pandangan bernas dari MP Kota Melaka. Adalah disyorkan beliau ini meluaskan worldview nya termasuk menaruh minat merapatkan perhubungan Melaka dengan negara jiran seperti Sumatera yang mempunyai lebih daripada 20 juta penduduk. Ini lebih bermakna diketengahkan kerana ia berpotensi untuk meningkatkan ekonomi rakyat Melaka.
oleh: Panel

BILA MP PEMBANGKANG BERHUJAH

'Pi mai pi mai tang tu'


Mengantuk mustika mendengar celoteh MP Subang (PKR). Asyik-asyik isu lapuk juga yang menjadi pilihan, isu undi pos yang didakwa tidak telus. . MP Subang juga tidak lupa untuk menyeru semua pihak supaya beralih kepada era diplomasi yang baru. Apa yang dimaksudkan dengan diplomasi baru pun rasanya MP ini sendiri tidak faham.
MP Kepong (DAP) pula dinasihat jangan suka menjaga tepi kain orang.... sinis dan penuh makna... Isu keris jangan dibangkitkan. Jangan dipertikaian hak dan keistimewaan kaum Melayu. Melayu tidak pernah mencabar hak dan keistimewaan kaum lain. Kepada MP Kepong, jangan menyentuh sensitiviti kaum lain.
MP Jerai (PAS) tampil dengan isu keganasan dan jenayah bagaikan seorang pensyarah dan pendakwah bukannya sebagai seorang pemimpin. Kalau di dalam majlis ilmu, memang tidak salah MP Jerai ingin mengutarakan dan melontarkan pendapat sebegitu...

MP PARIT BUNTAR TIDAK PEKA

MP Parit Buntar (PAS) telah membangkitkan isu perkauman, semangat patriotisme dan kesetiaan kepada raja dan negara. Beliau dalam hujahnya mengajak semua pihak termasuk BN, bangkit dan bersatu hati untuk memastikan keamanan dan perpaduan negara dapat dicapai. Ajakan ini sebenarnya patut di tujukan kepada diri beliau sendiri dan rakan-rakan pembangkang yang lain. Kerajaan hari ini bukan nya buta atau bisu atau pekak sehinggakan tidak sedar dan tidak peka mengenai isu perpaduan kaum dan keamanan negara. Kerajaan telah terlebih dahulu mengambil inisiatif dann usaha yang berterusan untuk mengekalkan perpaduan dan keamanaan negara.
MP Parit Buntar juga telah mengatakan bahawa BN telah mengeluarkan kenyataan bahawa undi pembangkang pasti tidak diredhai. Harus diingat, dahulu pemimpin pembangkang pernah mendakwa, undi BN masuk neraka, undi PAS masuk syurga. Masih ingat? Siapa sebenarnya yang memainkan isu agama di sini? MP Parit Buntar perlu cermin diri, tanya diri adakah layak beliau mendakwa sedemikian rupa?
Kepada MP Parit Buntar, jangan sesekali berselindung di sebalik agama.

MALAYSIA BUKANNYA PAPUA NEW GUINEA

MP Batu (PKR) menyentuh beberapa perkara termasuklah keselamatan negara. Beliau kelihatan prihatin terhadap warga tentera yang kononnya selepas bersara, hidup tak menentu, pencen tidak mencukupi dan tiada rumah. Ini adalah satu kenyataan yang melulu dan tidak mendalam. Sebagai seorang MP beliau seharusnya mendapat maklumat yang betul supaya ahli dewan dapat menerimanya. Untuk menjadi seorang MP yang berjaya, beliau perlu memperkukuhkan pengetahuan perihal warga tentera. Beliau jangan mudah diperdayakan oleh beberapa maklumat yang tidak tepat.
Beliau juga menyentuh tentang kedaulatan negara di mana perkara yang perlu di beri perhatian tentang tidak seimbang di antara timur dan barat iaitu Sabah dan Sarawak. Dalam hal ini, MP Batu agak kebelakangan. Beliau perlu dalami sebelum berhujah di dalam dewan yang mulia ini. Yang menyedihkan lagi, beliau cuba membuat perbandingan antara di Malaysia dengan Papua New Guinea. Apa sudah jadi? MP Batu tidak menerima realiti bahawa Malaysia adalah negara maju malah mendepani negara-negara berstatus maju.
oleh: Panel

MP (PKR) CAKAP TAK SERUPA BIKIN

MP Lembah Pantai (PKR) telah membawa isu-isu setempat khususnya bagi warga Lembah pantai. Beliau meminta perhatian dibuat terhadap peniaga-peniaga Melayu, pekedai-pekedai runcit, pemandu-pemandu teksi dan AUKU serta pelajar-pelajar.

Perkara-perkara ini bukan baru tetapi telah pun diberi perhatian oleh kerajaan BN sejak dahulu lagi. Kini, kawasan Lembah Pantai kelihatan membangun dengan flat-flat untuk penduduk tempatan bersesuaian dengan keperluan semasa.

Beberapa ahli BN mencelah semasa MP ini sedang berhujah. Mereka mempertikaian lifestyle MP Lembah Pantai kerana semasa beliau ke sekolah beliau berkeadaan mewah.

oleh: Panel

MP PUCHONG (DAP) TIDAK REALISTIK

MP Puchong dalam hujahnya hanya ingin meniupkan sentimen perkauman dan agama. Kononnya memperjuangkan hak masyarakat India supaya beliau boleh berbangga kepada warga di Puchong. Beliau hanya melepaskan batuk di tangga dan tidak lebih dari itu.
Beliau cuba memutar belitkan keadaan dengan menceritakan perkara yang sudah diketahui oleh semua masyarakat India dan tiada apa pun perkara baru untuk mereka. MP Puchong mengatakan bahawa BN tidak membawa apa-apa pembangunan dan hanya membawa 'angin'. Negara di bawah BN akan musnah. Sedarkah MP Puchong apa yang diperkatakan? Beliau seolah-olah berada di dunia lain semasa berucap. Beliau tidak tahukah bahawa Dewan yang moden dan cantik inipun dibangunkan oleh Kerajaan BN supaya MP Puchong dapat berhujah dengan selesa. Banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh diutarakan untuk pengetahuan MP Puchong yang saya anggap perlu membuat penyelidikan sebelum masuk dewan.
Beliau mengambil kesempatan menyentuh bahawa kedudukan MCA dan MIC tidak kuat. Beliau juga menuduh nasib masyarakat India sekarang adalah kerana kesilapan MIC. MP Puchong masih tidak faham senario politik Malaysia. Beliau perlu tahu bahawa kejayaan negara sekarang adalah hasil kuat Barisan Nasional yang terdiri dari UMNO, MIC dan MCA iaitu pakatan yang diasaskan oleh BN.
Beliau perlu peka bahawa Malaysia adalah negara yang mempunyai undang-undang dan mana-mana pihak yang cuba mencabuli undang-undang terpaksa lah menghadapi akibatnya. Tidak seorang pun yang bebas daripada tindakan undang-undang di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.
oleh: Panel

SPR JANGAN ASYIK DIPERSALAHKAN

Isu pembatalan penggunaan dakwat kekal ini dibangkitkan oleh MP Kuala Krai sebentar tadi.

Harap MP Kuara Krai mengkaji rasionalnya. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman telah mengeluarkan kenyataan bahawa pembatalan itu tidak dapat dielakkan berdasarkan isu perundangan serta masalah ketenteraman awam. Katanya, isu perundangan berbangkit melibatkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan tidak sesiapa boleh menidakkan seseorang yang layak daripada mengundi, termasuk seseorang yang kukunya telah dicalit dengan dakwat kekal.
Masalah keselamatan yang mungkin timbul pula melibatkan empat laporan polis yang diterima sebelum ini yang mengatakan terdapat individu tertentu yang telah pun mengimport dakwat seperti yang akan digunakan oleh SPR dengan tujuan menipu orang ramai agar mencalit kuku mereka sebelum pergi mengundi.
Siasatan terhadap laporan polis yang diterima mengesahkan individu-individu tersebut bercadang memujuk dan menyogok orang yang kurang faham dan kurang jelas mengenai penggunaan dakwat agar mencalitkan kuku mereka sebelum hari mengundi. Sasaran golongan ini adalah masyarakat luar bandar. Ini bertujuan menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan. Hal ini boleh menyebabkan tercetusnya kekecohan di tempat-tempat mengundi yang mungkin sukar dikawal jika ia berleluasa.
Wahai MP Kuala Krai, fikirkan kebaikan di sebalik pembatalan penggunaan dakwat kekal ini. Kalau nak gali telaga sekalipun, janganlah dikorek 'lubang yang tidak ada mata air'. Buang masa..........

MP KOTA RAJA MASIH KEBINGUNGAN

MP Kota Raja (PAS) telah menyentuh beberapa perkara yang telah disentuh oleh sahabat-sahabatnya dalam Dewan. Perkara-perkara yang ditimbul adalah perkara lazim seperti ISA, penggunaan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains, isu aurat, wanita dan isu doktor-doktor perubatan.
Beliau berhujah mengenai ISA. Beliau telah menyentuh tentang kedudukan keluarga-keluarga tahanan ISA. MP Kota Raja bukannya tidak faham mengenai kebaikan ISA tetapi sengaja membahaskannya kerana tidak ada modal. Beliau perlu tahu bahawa ISA lah yang telah berjaya membawa ketenteraman kepada rakyat Malaysia. ISA lah yang telah dapat memerangi Parti Komunis Malaya, terrorisme dan gejala-gejala ekstremisme yang lain. Di UK dan di US juga telah diwujudkan akta-akta terrorime demi menjaga kesejahteraan rakyat negara-negara tersebut terutama setelah berlakunya Peristiwa 11 September.
Mengenai isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains, ini telah dibuat kajian impirikel oleh Kementerian berkenaan kerana ia melibatkan pelajar-pelajar itu dan juga kos. Kerajaan akan kerugian besar sekiranya program ini memberi permasalahan sebaliknya penggunaan Bahasa Inggeris mempunyai ramifikasi positif yang sangat luas. Ia bertujuan untuk membolehkan pelajar-pelajar menguasai Sains dan Matematik dan sekaligus bahasa Inggeris yang diguna secara meluas di dunia. Penguasaan bahasa Inggeris oleh pelajar-pelajar bumiputera di luar bandar khususnya akan memperkayakan minda dan pengalaman mereka demi menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.
MP Kota Raja perlu merenungkan nasib pelajar-pelajar Bumiputera kerana kerajaan bukan membuat sesuatu program sesuka hati. Sepatutnya beliau memberi sokongan penuh kepada merealisasikan hasrat murni kerajaan Barisan Nasional.
oleh: Panel

WANITA MALAYSIA TIDAK DI PINGGIR

Dari segi kesamaan gender, kerajaan telah melakukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk memperkasakan wanita. Sejak Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995), pembangunan wanita tidak pernah diabaikan. Dakwaan MP Tenggara bahwa wanita di Malaysia dipinggirkan adalah tidak berasas sama sekali. Wanita di Malaysia diberi peluang yang sama rata dalam bidang pendidikan supaya mereka juga boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Malah, lebih banyak wanita menuntut di institusi pengajian tinggi berbanding lelaki di Malaysia. Pada 2006, 62 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar adalah wanita dan jumlah ini meningkat setiap tahun.
Kita harus bersyukur kerana wanita di Malaysia tidak pernah dipinggirkan. Ini kerana dapat kita lihat, di sesetengah negara, kaum wanita tidak dibenarkan langsung untuk memandu kereta, mengundi dalam pilihan raya atau bekerja. Walaupun jumlah tenaga wanita tetap sama dan tidak berubah secara relatifnya antara tahun 1975 dan 2002, tetapi terdapat perubahan ketara daripada segi corak pekerjaan yang dilakukan mereka. Perkadaran wanita yang bekerja dalam bidang pertanian telah menurun daripada 40.5 peratus kepada 27 peratus antara kedua-dua tempoh itu. Juga terdapat peningkatan yang ketara di mana bilangan wanita dalam bidang kewangan, insurans, sektor hartanah dan perkhidmatan perniagaan meningkat selain perdagangan borong dan runcit, sektor perhotelan dan restoran. Dan ramai yang memegang jawatan tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta. Mereka termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Datuk Zarinah Anwar, Yvonne Chia, Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Bank dan Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Banking Group Datuk Bridget Lai.
Kerajaan amat berbangga kerana wanita dilihat sebagai aset penting kepada negara. Wanita hari ini dilihat bukan lagi berdiri di belakang seorang lelaki tetapi berdiri di sebelah lelaki malah ada yang sudah berdiri di hadapan lelaki... Sebenarnya Mustika hanya menyenaraikan sebilangan kecil usaha-usaha kerajaan dalam memperkasakan dan membela nasib kaum wanita yang pada dasarnya terlalu banyak untuk dibincangkan.

MP PADANG SERAI TAKSUB BELA DSAI

MP Padang Serai terlalu emosional apabila beliau dengan penuh bersemangat memberikan pendapat peribadi mengenai Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Beliau mendakwa DSAI banyak memberikan sumbangan dan sentiasa memikirkan masalah rakyat. Betul kah begitu? Sejak Dewan Rakyat bersidang, mustika melihat antara isu yang banyak diketengahkan oleh MP pembangkang adalah kes DSAI. Kes ini telah selesai tetapi mengapa mesti diuar-uarkan lagi? Isu ini isu lapuk....
MP Padang Serai agaknya sudah ditanam dan dipasak dalam minda dan hatinya mengenai semua isu tentang DSAI. Sebab itulah beliau tidak jemu-jemu mengutarakan isu ini. MP Padang Serai terlalu taksub dan benteng 'ketaatan' kepada DSAI sudah tidak dapat diruntuhkan lagi. Ini dapat dilihat apabila MP ini bertegas meminta Kerajaan Malaysia memohon maaf kepada DSAI. Namun sampai bila 'perjuangan murni' MP Padang Serai ini dapat diteruskan? MP Padang Serai seolah-olah dijadikan alat untuk sentiasa menjadikan DSAI sebagai isu perbincangan, perbahasan dan perdebatan di Dewan Rakyat.

ISU PATI DIBANGKITKAN LAGI

Isu Pendatang tanpa izin terus dibangkitkan oleh MP Keningau. Dakwa beliau, isu ini selalu dibangkitkan oleh pembangkang terutama ketika PRU yang lepas. Beliau mendakwa, pelaksanaan peraturan dan undang-undang tidak dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
Rakyat harus tahu dan sedar sebenarnya kerajaan sentiasa mengambil serius perkara ini malah pelbagai langkah telah dan sedang diambil untuk menangani masalah ini. Tetapi harus juga kita sedar dan tahu penyelesaiannya tidaklah semudah yang disangkakan, apatah lagi masalah itu sudah berakar-umbi puluhan tahun lamanya. Tetapi jika kita bersatu hati dan tidak hanya menuding jari mencari kesalahan orang lain, tidak mustahil kita dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera. Pesan Mustika, rakyat Sabah sendiri harus mempunyai peranan dan memainkan peranan merekabagi membantu kerajaan merealisasikan perancangan dan usaha Kerajaan ini. Usaha kerajaan tidak mungkin berkesan jika sebahagian rakyat terus bersikap dingin dan mengambil kesempatan daripada kehadiran PATI untuk mengaut keuntungan ekonomi semata-mata.

MP BAGAN JANGAN PERKECILKAN PEMUZIK TEMPATAN

MP Bagan, DAP menimbulkan pelbagai perkara termasuklah mengenai Orkestra Philharmonik yang pada hemat beliau telah berbelanja sebanyak RM500 juta ringgit. Beliau mengatakan bahawa duit ini sepatutnya disalurkan kepada orang miskin.
MP Bagan patut tahu bahawa Malaysia kini adalah tergolong dalam negara membangun. Pembangunan sebenarnya adalah luas dan ia meliputi aspek kebudayaan, hiburan dan lain-lain lagi. Malaysia perlu juga memperkayakan warganya dalam bidang-bidang tertentu termasuk muzik supaya warga kita ini mendapat pendedahan seluas-luasnya.
Dengan bertambahnya minat warga kita dalam bidang ini, ia akan meningkatkan kepakaran pemuzik-pemuzik tempatan dan sekaligus mencetuskan minat generasi muda yang akan datang. Mereka akan menjadi rebutan pemuzik-pemuzik antarabangsa dan ini akan akan mengharumkan nama Malaysia di luar negara. Kini, Orkestra Philharmonik diminati oleh warga-warga asing yangnbermastautin di Malaysia. Banyak Konduktor muzik asing yang masyhur telah memimpin Okestra Philharmonik sejak ia diwujudkan lagi.
Perbelanjaan yang kita buat itu tidak dianggap membazir tetapi merupakan satu pelaburan untuk memperkayakan industri muzik di samping meningkatkan semangat pemuzik-pemuzik tempatan untuk maju ke hadapan.
oleh: Panel

MP PAPAR

MP Papar amat prihatin berhubung dengan kedudukan rakyat di kawasan parlimennya dan Negeri Sabah umumnya. Justeru, MP Papar merayu Kerajaan Pusat supaya memberi ruang dan peluang kepada rakyat Sabah sama-sama membantu Kerajaan Pusat dalam semua bidang terutamanya dalam bidang diplomatik, pentadbiran dan keselamatan. Saya dengan penuh yakin dan percaya, rakyat Sabah tidak pernah kekurangan dari segi kebolehan dan juga kepakaran dalam bidang-bidang yang saya maksudkan tadi. Belian juga turut menyentuh isu pendatang tanpa izin (PATI) yang tidak habis-habis dibincangkan. Semakin hari semakin ramai PaTI di negeri tersebut. Justeru, langkah-langkah berikut perlu diambil segera dan diberi perhatian segera.

1) Pusat-pusat tahanan sementara yang sedia ada hendaklah dipantau dengan rapi supaya kesihatan dan keselamatan mereka terus terjamin terutamanya kes pengedaran sabu di dalam pusat-pusat tahanan.

2) Kawalan-kawalan sempadan oleh pihak keselamatan, polis dan tentera hendaklah dihadkan tempoh masanya bagi mengelakkan mereka mendapat suntikan luaran. Ianya juga bagi mengelakkan berlakunya rasuah dikalangan mereka.

3) IM13 hendaklah diteliti sebelum sebarang pemberian borang untuk diisi oleh mereka. Ianya perlu mengemukakan saksi-saksi seperti penghulu, bidan dan laporan polis bagi menentukan mereka betul-betul lahir di negeri Sabah

4) Pihak polis diminta memberi keutamaan menjalankan operasi rondaan mereka di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti dihuni oleh PATI. Ianya bagi mengelakkan kes-kes jenayah berleluasa khususnya jenayah seksual, jenayah keganasan, jenayah harta benda dan lain-lain yang sering berlaku di semua kawasan-kawasan yang dihuni oleh PATI.

5) Semua jabatan kerajaan Negeri perlu memberi kerjasama kepada pihak polis dan pihak pendaftaran bagi menentukan PATI boleh dihantar pulang ke Negara asal mereka.
oleh: Panel

PLKN RASIONAL



MP Batu Gajah membuat usul supaya kerajaan menghentikan program PLKN. Beliau berpendapat bahawa program ini menjejaskan kesihatan dan selanjutnya kematian terlalu kerap berlaku.

Beliau berpendapat bahawa program ini terpaksa diteruskan kerana diwajibkan oleh undang-undang. Dianggarkan 110,000 pelatih akan melalui program ini pada 2008. MP Batu Gajah sepatutnya mengetahui bahawa program ini banyak memberi kebaikan. Ia mempunyai tujuan untuk membina generasi muda supaya berdisiplin, beriltizam tinggi, berdedikasi dan cinta serta sayang kepada tanahair. Ia juga mendedahkan pelatih-pelatih kepada sikap team-work, esperit de corp, membina jati diri yang kukuh, bermoral, bertanggungjawab dan pergaulan yang sihat.
Berlandaskan pemupukan semangat patriotisme serta jalinan integrasi nasional yang harmonis program ini diadunkan dalam usaha mewujudkan kestabilan dan kesejahteraan rakyat berterusan dan kekal utuh. Program ini dijalankan dengan menyatupadukan kumpulan generasi muda yang dibesarkan dari latar belakang dan keturunan yang berbeza, dengan hasrat dapat membentuk sebuah masyarakat yang berdisiplin, yakin diri dan dilengkapi sikap luhur yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran dan dugaan.

Program-program seperti ini adalah baik dan sepatutnya MP Batu Gajah patut memberi kerjasama dan menyokong kerajaan demi kebaikan warga muda kita dimana bilangannya mula meningkat.




oleh: Panel

SOALAN BERULANG-ULANG

Mustika sebenarnya tidak kisah mendengar soalan-soalan daripada Pembangkang yang tidak jemu-jemu bertanya di dalam Dewan Rakyat, cuma apabila soalannya berulang-ulang, semestinya jawapan yang sama akan diberikan.... Apabila perkara yang sama di ucapkan dan diterangkan, sudah semestinya kita akan rasa jemu dan bosan. Menteri atau timbalan Menteri yang terbabit menjawab soalan pastinya akan menerangkan perkara yang sama lebih dari sekali. Pembangkang tidak faham atau tidak peka atau tidak memberi tumpuan ketika Menteri atau Timbalan Menteri memberi jawapan. Nasihat mustika kepada pembangkang, dengarlah dengan teliti dan jangan terlena lagi.... jangan buang masa dengan soalan yang berulang-ulang dan juga soalan yang mempunyai maksud yang sama.

PERTANIAN MENJADI TUMPUAN

Dalam keadaan semasa negara menghadapi isu kekurangan beras. Pengumuman harga padi dan beras oleh Pak Lah semalam adalah untuk memberi kemudahan dan kelebihan kepada peniaga dan pengguna.
Dalam mnghadapi isu ini, Kerajaan akan memberikan tumpuan yang lebih aspek pertanian padi. Menteri terbabit menyatakan, bagi Projek Sungai Manik terdapat 2586 orang petani di kawasan berkenaan dan RM500 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan insfrustruktur di kawasan berkenaan. Kerajaan menumpukan Projek Sungai Manik kerana dalam situasi sekarang, projek penanaman padi diberi keutamaan. Usaha Kerajaan ini adalah untuk mengurangkan import supaya negara tidak lagi bergantung kepada import semata-mata. Apabila Wakil Rakyat Pasir Salak bangun untuk menyatakan ketidak puasan hati mengenai sumber kewangan dan rasional perbelanjaan yang banyak untuk projek-projek pertanian, Menteri berkenaan dengan sinis memuji rakyat di Pasir Salak harus bersyukur kerana wakil rakyatnya gigih berjuang untuk membela rakyatnya. Menurut menteri berkenaan, beberapa tokoh telah memberi amaran sebelum ini kepada kerajaan mengenai isu kekurangan bekalan makanan. Menteri mengakuinya, tetapi pada masa itu kerajaan mungkin belum sedar betapa hal tersebut perlu ditangani segera. Menteri juga menerangkan bahawa sumber kewangan lain juga akan digunakan selain Perbendaharaan Negara dan Petronas. Di bawah Koridor Utara, GLC telah digalakkan untuk terlibat dalam projek-projek kerajaan. Terbaru, Sime Darby telah menunjukkan minatnya untuk terlibat secara langsung dalam projek-projek kerajaan..

HARGA BERAS KEKAL- * RM1.65-RM1.80 SEKILO * PADI DARI RM650 KE RM750 SETAN

KUALA LUMPUR 12 Mei – Ketika kebanyakan negara dunia mengalami kenaikan harga makanan secara mendadak ekoran krisis bekalan, kerajaan hari ini sebaliknya membuat keputusan mengekalkan harga kawalan beras Super Tempatan 15 peratus antara RM1.65 sekilogram hingga RM1.80 sekilogram yang ditetapkan mengikut zon.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, selain meneruskan status beras hancur 15 peratus sebagai barang kawalan yang banyak digunakan oleh sebahagian besar rakyat, kerajaan juga membuat keputusan untuk menetapkan harga siling beras Super Special Tempatan (SST) lima peratus dan SST 10 peratus.
Sebelum ini, kedua-dua beras gred itu tidak dikenakan kawalan harga.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Abdullah memberitahu, bagi beras SST lima peratus, harga siling yang ditetapkan ialah RM2.80 sekilogram manakala harga siling SST 10 peratus ialah RM2.70 sekilogram.
Kedua-dua harga siling itu akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.
Keputusan tersebut dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Abdullah di Parlimen hari ini.
Selepas mesyuarat itu, Abdullah mengeluarkan kenyataan yang menggariskan lima tindakan komprehensif bagi menangani isu kenaikan harga padi dan beras.
“Pihak jawatankuasa juga telah membuat ketetapan untuk mengapungkan harga beras import termasuk beras putih Thai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan turut membenarkan pemindahan padi di antara negeri-negeri secara berperingkat selain bersetuju menaikkan Harga Minimum Terjamin (HMT) padi daripada RM650 setan metrik kepada RM750 setan metrik,’’ katanya.
HMT pada paras RM750 setan metrik kini ialah harga terendah padi yang dijamin oleh kerajaan.
Kerajaan sebelum ini melarang penjualan padi antara negeri-negeri.
Pada masa lepas, padi yang dihasilkan di Selangor, misalnya, hanya dibenarkan dijual di Selangor. Walaupun ada kilang padi dari Kedah ingin membeli padi seseorang pesawah dari Selangor pada harga lebih tinggi, ia tidak dibenarkan.
Dasar itu akan dihapuskan secara berperingkat-peringkat.
Berhubung kenaikan harga HMT padi daripada RM650 setan metrik kepada RM750 setan metrik yang menguntungkan petani, Perdana Menteri berkata, ia wajar dinaikkan ke paras lebih tinggi untuk faedah pesawah-pesawah padi berikutan kenaikan harga beras.
“Pemindahan padi antara negeri-negeri juga perlu dikaji bagi menjadikan harga jualan padi lebih kompetitif dan dapat membantu menambah pendapatan pesawah-pesawah,’’ tambah beliau.
Berdasarkan rekod Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, harga beras ST 15 peratus pada tahun lalu hanyalah RM1.52 sekilogram berbanding harga pada ketika ini antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram.
Harga beras SST lima peratus pada tahun lalu pula adalah RM1.95 sekilogram sementara harganya ketika ini mencecah sehingga RM3.26 sekilogram.
Justeru, langkah kerajaan menetapkan harga SST lima peratus pada paras RM2.80 sekilogram adalah 46 sen lebih rendah daripada harga pasaran semasa.
Dalam kenyataannya, Perdana Menteri turut menjelaskan mengenai implikasi lima langkah khusus yang diambil oleh kerajaan untuk menangani harga padi dan beras.
Katanya, apabila kesemua langkah itu diambil, kerajaan terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM725 juta sebagai subsidi untuk pengimportan 500,000 tan beras bagi memastikan harga runcitnya di negara ini dapat dikekalkan.
Beliau berkata, langkah-langkah yang diputuskan itu berkuat kuasa serta-merta kecuali penetapan harga siling bagi beras SST lima peratus dan SST 10 peratus.
“Keputusan yang diambil oleh jawatankuasa hari ini adalah berasaskan kepada kepentingan semua pihak dengan bermatlamatkan kebajikan pengguna dan pesawah padi terpelihara.
“Dengan cara ini sahaja kerajaan dapat meringankan beban pengguna ketika harga barangan semakin meningkat,’’ katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui kenaikan harga beras di pasaran dunia telah memberi tekanan kepada harga padi dan beras di Malaysia.
“Harga beras di pasaran dunia naik mendadak berbanding tahun lalu. Harga beras putih Thai lima peratus telah meningkat sebanyak 164 peratus iaitu daripada AS$371 setan metrik (2007) kepada AS$980 setan metrik pada ketika ini.
“Beras putih Vietnam pula telah naik sebanyak 212 peratus iaitu daripada AS$352 pada tahun lalu kepada AS$1,100 setan metrik pada tahun ini,’’ katanya lagi.
Mengenai langkah menetapkan harga siling beras SST lima peratus dan 10 peratus, Abdullah memberitahu, harga kedua-dua beras gred itu telah naik mendadak kerana kerajaan tidak mengenakan kawalan harga ke atas beras gred tersebut.
“Kerajaan hanya mengawal beras ST 15 peratus tetapi isunya sekarang berlaku kekurangan bekalan di pasaran kerana pengilang lebih berminat untuk mengeluarkan SST lima peratus dan 10 peratus.
“Keadaan itu memerlukan kerajaan bertindak segera bagi memastikan bekalan beras ST 15 peratus mencukupi dan pada masa sama membendung kenaikan berterusan harga beras SST lima peratus dan 10 peratus,’’ katanya.

*************************************************

Seperti yang Mustika katakan semalam, kita tunggu sahaja dan jawapannya dapat kita lihat dan dengar hari ini. Rata-rata akhbar utama negara menyiarkan berita ini......