Thursday, May 15, 2008

DASAR PERTANIAN NEGARA

Peningkatan berterusan harga makanan di pasaran dunia mendorong kerajaan melancarkan program meningkatkan pengeluaran bekalan makanan dalam negara dan berikutan itu pakar-pakar pertanian dan ekonomi menyarankan Rancangan Buku Hijau dihidupkan kembali.

Semasa diperkenalkan lebih 30 tahun lalu, Buku Hijau ternyata berkesan dalam mengurangkan kadar inflasi menerusi peningkatan pendapatan rakyat menerusi penglibatan dalam bidang pertanian secara sambilan atau sepenuh masa.

Setelah negara berjaya menangani inflasi akibat kejatuhan harga getah dan krisis ekonomi pada awal 1970an, rancangan Buku Hijau yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua (Allahyarham) Tun Abdul Razak Hussein pada Disember 1974, mula dilupakan.

Sebelum krisis semasa dunia melanda negara, kerajaan melaksanakan program Bumi Hijau sebagai satu daripada strategi di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan melibatkan peruntukan keseluruhan RM4 bilion, bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga makanan stabil.

Namun pakar-pakar berpendapat rancangan Buku Hijau atau terjemahan semangatnya seperti program Bumi Hijau perlu diteruskan dari semasa ke semasa, bukan hanya ketika krisis, kerana makanan adalah keperluan asas rakyat yang memerlukan jaminan.

"Buku Hijau dan Dasar Pertanian Negara sebenarnya saling melengkapi," kata pakar ekonomi Prof Dr Mansor Jusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada.

Dr Mansor berkata objektif pertama Dasar Pertanian Negara adalah meningkatkan sekuriti makanan dengan meningkatkan kualiti pengeluaran yang menumpukan kepada aspek komersial pertanian.

Rancangan Buku Hijau pula lebih kepada peningkatan penglibatan rakyat dalam pertanian dengan bercucuk tanam untuk kegunaan sendiri dan selebihnya dijual kepada umum.

Objektif utama Buku Hijau ialah memaksimumkan pembangunan tanah secara menyeluruh melibatkan tanaman jangka pendek, pekebunan berkelompok, ternakan ikan air tawar dan meningkatkan pemasaran produk pertanian selain bertujuan menambah pengeluaran makanan negara dan meningkatkan pendapatan rakyat bagi mengurangkan inflasi.

Melalui Buku Hijau, konsep "backyard farming" diperkenalkan dengan menanam cili dalam pasu, menanam pokok buah-buahan di halaman rumah dan penternakan secara domestik.

Dalam konteks itu, Dr Mansor berkata konsep "community farming" iaitu mengusahakan kawasan tanah terbiar di kawasan perumahan perlu dikembangkan kepada kawasan luar bandar dengan pengawasan agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian.

Katanya, konsep itu telah dilaksanakan dengan jayanya di beberapa negeri seperti projek "Ladang Rakyat" di Kelantan.

Beliau berkata tumpuan juga harus diberikan kepada golongan petani di desa dan di pinggir bandar, walaupun kerajaan menggalakkan konsep "kitchen farming" dengan bercucuk tanam atau menternak ayam atau ikan atau kombinasi keduaduanya di halaman rumah perseorangan, di bawah program Bumi Hijau.

"Saya rasa kita kena kembali kepada konsep asal Buku Hijau yang juga bertujuan meningkatkan bekalan makanan negara dengan memberikan tumpuan kepada petani kecil di pinggir bandar. Pertanian bukan semua boleh buat tetapi profesion sepenuh masa," katanya.

Beliau berkata cabaran utama adalah untuk memasarkan hasil pertanian itu yang memerlukan kerjasama penuh daripada agensi terbabit seperti FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

"Kerajaan juga tidak boleh hadkan harga sayur-sayuran kerana ia boleh 'bunuh' petani. Contohnya bila pengeluaran kurang harga sayur tidak naik tetapi bila sayur terlebih keluar, harga tetap jatuh tetapi tiada pampasan kepada petani," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed ketika mengumumkan mengenai Dasar Jaminan Bekalan Makanan Jumaat lepas berkata kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi mengedarkan biji benih sayur terpilih, baja serta manual kepada seluruh lapisan masyarakat pada tahun ini.

Pelaksanaan dasar itu selaras dengan kadar inflasi yang meningkat ekoran kenaikan harga barangan pengguna seperti beras dan lainlain. Bank Negara Malaysia mengumumkan pada 30 April lepas bahawa inflasi seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sedikit kepada 2.8 peratus pada Mac tahun ini berbanding 2.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Prof Dr Mohd Ariff Hussein berkata amalan Buku Hijau di negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara Eropah bagi meningkatkan tahap mampu diri cukup konsisten.

"Mungkin kerana pengalaman mereka daripada kesan perang...Tetapi ianya program yang baik dan perlu diteruskan bukan hanya semasa krisis walaupun benar kenaikan inflasi adalah faktor pendorong," katanya.

Statistik 2005 menunjukkan tahap mampu diri keperluan negara bagi padi ialah 70 peratus, buah-buahan (98 peratus), sayur-sayuran (95.6 peratus), perikanan (90 peratus), daging lembu (23 peratus), daging kambing (7.1 peratus), babi (76 peratus), ayam (143.2 peratus) dan telur (152.3 peratus).

Beliau berkata selain "backyard farming" yang digunapakai satu ketika dulu, kaedah hidroponik (tanaman di air, tanpa tanah) sesuai dilaksanakan di kawasan bandar berbanding di kampung-kampung yang masih mempunyai tanah untuk diusahakan dalam skala besar.

"Mereka boleh tanam sayur berdaun seperti sawi melalui kaedah hidroponik ini di rumah mereka. Tanaman yang senang kena penyakit seperti terung bagaimanapun tidak sesuai kerana kos kewangan dan masa," katanya yang pernah menanam sayur menggunakan kaedah itu pada awal 1980an.

Beliau juga mencadangkan supaya kaedah hidroponik, yang telah digunapakai secara meluas di flatflat di Singapura, dicontohi secara meluas di sekolah-sekolah bagi mewujudkan "demonstration effect" kepada komuniti terbabit seperti guru-guru dan ibu bapa.

Dr Mohd Ariff berkata aspek logistik perlu diberikan penekanan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, antara lain, menempatkan agensi terbabit di rantaian pasaraya seperti Giant atau Tesco bagi memudahkan masyarakat mendapatkan nasihat teknikal, peralatan dan benih sayur terbabit.

Melalui Dasar Jaminan Bekalan Makanan, FAMA akan meningkatkan keupayaan pemasaran hasil-hasil pertanian melalui pembangunan pusat pengedaran, pusat pengumpulan serta peningkatan bilangan pasar tani sebanyak 50 di seluruh negara sebagai tambahan kepada 230 pasar tani sedia ada melibatkan peruntukan RM39 juta pada tahun ini.

Presiden FOMCA Datuk N.Marimuthu berkata kerajaan perlu mengembalikan pasar tani kepada model asalnya "daripada petani kepada pengguna" dan bukan seperti pasar malam yang menyaksikan produk selain pertanian dijual. BERNAMA

ELAKLAH LOMPAT PARTI HANYA TERMAKAN JANJI MANIS

- GUNAWAN MAHMOOD
Kuala Lumpur.

SAYA amat tertarik dengan pandangan Datuk Mohamed Aziz, Ahli Parlimen Sri Gading bahawa anggota Parlimen janganlah sombong mendakwa kehebatan masing-masing. Ini kerana kemenangan mereka adalah kerana parti yang mendukung mereka.

Mereka popular, disanjung dan dijunjung rakyat bukan kerana peribadi. Melainkan mereka ditatang oleh parti bukan mereka menatang parti. Oleh yang demikian, mereka jangan sombong mahu melompat ke sana-sini.

Mereka terikat dengan amanah yang diberi oleh rakyat. Jika rakyat mahu mereka berada di dalam Barisan Nasional (BN) maka mereka mesti berada di dalam BN. Kalau rakyat mahukan pembangkang, mereka boleh buat keputusan awal lebih dahulu untuk tidak memilih BN.

Maka jagalah amanah para pengundi yang telah memilih wakil rakyat sekelian. Kata pepatah Barat, 'batu yang bergolek tidak akan dapat mengumpul lumut'. Jika kita sibuk lompat-melompat, apa perkhidmatan atau pembangunan yang dapat kita beri kepada rakyat.

Apakah semua ahli Parlimen yang melompat dapat menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan setiausaha Parlimen.

Tentulah tidak. Kalau diikutkan janji-janji manis dan cerita dari mulut ke mulut nanti, barangkali ada macam-macam jawatan yang tidak masuk akal.

Sememangnya laungan bagi memajukan Sabah dan Sarawak adalah wajar. Tetapi laungan itu agak 'keras' di saat kerajaan memerlukan sokongan padu semua ahli Parlimen BN. Dulu mereka bersuara tidak sekeras ini. Persoalannya kenapa?

Saya setuju dengan pandangan Mohamed Aziz bahawa Johor selalu menang besar khususnya sekitar tahun 1980-an tetapi tidak banyak kerusi menteri diperuntukkan untuk Johor ketika itu. Komitmen membangunkan rakyat menjadi keutamaan. Bukan kerana orang-orang Johor "enggeh" semata-mata.

Ingatlah ahli-ahli Parlimen BN, rakyat mengharap khidmat anda sebagai orang yang paling dekat dengan kerajaan. Kesungguhan memajukan rakyat amatlah dialu-alukan.

Kita mestilah memastikan bahawa rakyat menjadi keutamaan sepanjang masa, dulu, kini dan selamanya. Bukan setelah berpuluh tahun menjadi wakil rakyat, baru hari ini kita mendakwa berjuang untuk rakyat miskin.

Teguran Mohamed Aziz cukup membina. Jiwa perjuangannya terus membara. Marilah kita tutup kisah rumah banglo atau rumah teres. Mudah-mudahan BN Sabah terus utuh seutuh Gunung Kinabalu. Tidak terusik walau sedikit pun oleh gangguan ribut ilusi.


UTUSAN ONLINE

AKTA UNIVERSITI TIDAK PERLU DIMANSUHKAN

MP Batu Gajah (DAP) mendakwa jika Akta Universiti ini diteruskan, akan mengongkong dan menyekat kebebasan pelajar-pelajar. Dakwaan MP ini tidak benar sama sekali dan beliau sebenarnya tidak faham fungsi akta ini. Pelajar-pelajar dihantar ke universit dan kolej untuk belajar dan bukannya berpolitik. Mustika percaya, dalam dewan ini sendiri, MP pembangkang juga dan membesar bersama AUKU.

Universiti dan kolej merupakan tempat untuk melahirkan golongan cerdik pandai dan peneraju serta bakal pemerintah di masa hadapan. AUKU masih lagi relevan untuk mencegah pelajar-pelajar daripada gangguan golongan politik yang ingin memperkudakan mereka demi kepentingan peribadi. AUKU juga dilihat telah berjaya menjauhkan pelajar daripada gangguan golongan yang ingin mengkhianati bangsa yang sepatutnya memastikan pelajar menamatkan pengajian terlebih dahulu bagi membantu kerajaan membangunkan negara.

Soal pelajar takut kepada pensyarah, takut kepada pensyarah, pensyarah takut kepada dekan, dekan takut kepada naib canselor,naib canselor takut kepada menteri dan menteri takut kepada Perdana Menteri adalah semata-mata dakwaan pihak tertentu yang sebenarnya sedang mencuba untuk menghasut penuntutpenuntut.

MP RASAH RESAH

MP Rasah (PKR) nampaknya semacam tidak memahami cara-cara dan bentuk latihan yang terdapat dalam jadual latihan serta tujuan PLKN diadakan. Sedarlah, anak-anak kita dari hari ke hari semakin bertambah bilangannya mengikut pusat latihan PLKN. Sudah pasti pusat-pusat latihan, alat-alat keperluan latihan, jurulatih-jurulatih, pegawai-pegawai, pengawal-pengawal, para doktor, ubat-ubatan dan lain-lain mengikut keperluan semasa wajib ditambah. Perbelanjaan di pusat pusat PLKN juga akan bertambah dari semasa ke semasa.

Mengenai berlakunya kematian semasa latihan, MP Rasah kena ingat dan sedar serta harus menggunakan fikiran yang waras. Soal kematian akan berlaku di mana-mana sahaja. Mungkin ajalnya sudah tiba semasa anak-anak kita berada di pusat latihan berkenaan. Apa pun pihak berkuasa sentiasa berusaha untuk mengelakkan ianya terus belaku. Kini pihak berkuasa telah mewajibkan peserta yang terpilih di PLKN supaya membuat pemeriksaan terlebih awal melalui doktor-doktor pakar dan keputusan maklumat hendaklah dikemukakan bersama surat jawapan kepada bahagian latihan PLKN. Dengan ini pihak PLKN dapat menyelesaikan apa sahaja masalah yang terlibat dengan peserta berkenaan.



oleh: Panel

PEMBANGKANG KECOH!

Pembangkang terlalu suka menimbulkan kekecohan. Mereka suka tuduh menuduh malah cuba berlagak hero. Kecoh dewan dibuatnya apabila pembangkang tidak menghiraukan arahan Yang Dipertua Dewan. MP Ipoh Timur terlalu emosional. Di tambah pula dengan rakan-rakan MP pembangkang yang lain yang juga ingin tunjuk kuasa masing-masing. Sedarlah, siaran langsung ini ramai yang tonton, berdisiplin lah sikit. Takkan itupun nak kena ajar.

MP PEMBANGKANG PERLU TURUN PADANG

Kerajaan telah mempelawa ahli-ahli politik pembangkang untuk melawat kem-kem latihan PLKN di seluruh Negara tetapi di endahkan oleh pembangkang. Dakwaan bahawa kerajaan tidak pernah mempelawa mereka adalah tidak benar sama sekali. Ahli politik pembangkang jangan hanya menilai ‘kulit’ nya sahaja. Kupas lah ‘kulit’ dan pasti ‘isi’nya tidak seperti yang digambarkan atau yang di dakwa. Pembangkang cuba untuk memutar belitkan fakta dan cuba mencari kesilapan program ini semata-mata. Sejak mustika mengikuti persidangan Dewan Rakyat, setiap hari MP pembangkang akan cuba dan terus menerus mempersoalkan rasional nya PLKN. Apa lagi yang mereka tidak puas hati pun mustika tidak pasti. MP pembangkang Mustika syorkan supaya sentiasa turun padang untuk sama-sama melihat sendiri apa yang berlaku di kem-kem PLKN.

Dalam artikel sebelum ini, mustika telah menerangkan betapa PLKN ini rasional dan wajar diteruskan demi kepentingan Negara di masa hadapan. Harus juga ahli-ahli politik pembangkang menyelusuri kepentingan program tersebut.



Don’t jugde a book by its cover.