Friday, August 15, 2008

SAIFUL SELESAI ANGKAT SUMPAH

Saiful Bukhari dilaporkan baru selesai mengangkat sumpah di dewan solat Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhubung isu liwatnya pada pukul 6.15 petang tadi. Beliau memenuhi janjinya sebelum ini untuk bersumpah mengikut syariat Islam bagi membuktikan kebenaran dia diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan menghadap kiblat dan memegang kitab al-Quran di depan mimbar masjid, beliau melafazkan sumpah:

“Bismillahirrahmanirrahim. Pada hari ini, 14 Ogos 2008, saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan Nombor Kad Pengenalan 850706-01-5687 dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut..."A'uzubillahi minas syaitanirrajim. Bismillahirrahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.

“Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah S.W.T dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah S.W.T sehingga ke kiamat. Wallahualam."

Saiful yang ditemani bapanya, Azlan, kini dalam perjalanan ke sidang media yang dijadualkan berlangsung di Hotel Dynasty Kuala Lumpur.

Sidang media mengejut ini dilengkapi dengan LCD projector tetapi tidak diketahui apa yang akan ditayangkan.Ini adalah sidang media pertama Saiful sejak membuat laporan polis yang mendakwa beliau diliwat oleh Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jun yang lalu.

Berita dan maklumat lanjut akan di update dari semasa ke semasa sebaik sidang media bermula- AgendaNews

PENGAKUAN SAIFUL DALAM BERITA UTAMA NEGARA MALAM INI

Pengakuan Saiful Bukhari berhubung dakwaan liwat Penasihat PKR Dato' Sri Anwar Ibrahim ke atasnya akan dapat ditonton di rangkaian stesen televisyen utama negara pada pukul 8 malam ini. Jangan ketinggalan.

5,000 PELAJAR UiTM PERMATANG PAUH BANTAH

BERITA HARIAN ONLINE

BUKIT MERTAJAM: Hari ini kira-kira 5,000 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Permatang Pauh pula mengadakan perhimpunan aman memprotes cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar universiti itu dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera.

Kumpulan penuntut itu yang turut memakai pakaian serba hitam diketuai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu, Mohd Faizal Zainol di Padang UiTM Permatang Pauh sejak jam 9 pagi selama sejam sambil menyanyikan lagu rasmi universiti serta lagu patriotik seperti 'Anak Kecil Bermain Api'. Mereka turut membawa pelbagai sepanduk bertulis 'Hidup Melayu', 'UiTM Milik Melayu' dan 'Jangan Jual Bangsa Melayu' sambil melaung-laungkan kemarahan terhadap Abdul Khalid.

Perhimpunan itu berakhir selepas Mohd Faizal menyerahkan memorandum yang ditandatangani mereka kepada Timbalan Pengarah Bahagian Akademik UiTM, Dr Mohd Abdullah Hemdi. Mohd Abdullah memberitahu pemberita bahawa memorandum itu akan diserahkan kepada Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Seri Ibrahim Abu Shah untuk dikumpulkan sebelum diserahkan kepada Menteri Besar Selangor. Sementara itu, Mohd Faizal berkata pelajar UiTM kesal dengan tindakan Abdul Khalid itu kerana sanggup mengemukakan syor yang dianggapnya menjual maruah bangsa di tanah air sendiri.

"Kalau Abdul Khalid tidak tarik balik kenyataan beliau, semua warga UiTM akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Shah Alam. "Kami berharap isu kuota bukan Bumiputera untuk masuk ke UiTM sebagai pelajar tidak perlu dibincangkan lagi. Kami kesal Abdul Khalid membelakangkan hak kaum sendiri," katanya. Semalam kira-kira 20,000 penuntut cawangan UiTM di enam kampus iaitu di Seri Iskandar (Perak), Arau (Perlis), Bandar Jengka (Pahang), Melaka, Sungai Petani (Kedah) dan Kuala Terengganu (Terengganu) mengadakan perhimpunan bantahan di seluruh negara. Penuntut di kampus induk di Shah Alam, Selangor dan cawangan di Machang, Kelantan mengadakan perhimpunan yang sama pada Rabu lalu. - Bernama

KENYATAAN PAS TERHADAP ANWAR

CORAT-CORET SEPANJANG MUKTAMAR DEWAN PAS

Beberapa perwakilan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di Stadium Indera Mulia di sini, semalam secara terbuka mengingatkan kepemimpinan serta ahli parti itu supaya jangan terlalu kagum dengan Anwar, sebaliknya mengambil sikap lebih berhati-hati dengan Penasihat PKR itu. ------------------------------------------------------------------------------------------------
KESIMPULAN MUSTIKA: PAS SUDAH TIDAK YAKIN DENGAN ANWAR
------------------------------------------------------------------------------------------------

Wakil Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata banyak ucapan serta kenyataan Anwar, terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 Mac lalu, mengelirukan dan seolah-olah tidak ingin melihat Islam menjadi ketuanan di negara ini. "Kita semua jangan lupa hakikat bahawa selama 16 tahun Anwar pernah menjadi penghalang kebangkitan Pas. Ada yang kata jangan ungkit, tetapi kita perlu juga pandang ke belakang sekali sekala untuk mara ke depan," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas.
----------------------------------------------------------------------------------------------
KESIMPULAN MUSTIKA: ANWAR JADI PENGHALANG KEBANGKITAN PAS SELAMA 16 TAHUN.
----------------------------------------------------------------------------------------------

Wakil Selangor, Zulkifli Ahmad, pula kesal kerana Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidak disebut-sebut sebagai pemimpin utama jika Pakatan Rakyat menubuhkan Kerajaan Pusat.
Paling menyedihkan, katanya, lidah rasmi Pas Harakah sendiri sudah menjadi 'berita Anwar' manakala Abdul Hadi dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak menerima liputan sehebat Penasihat PKR itu. "Sanggupkah pemimpin dan ahli Pas melihat Timbalan Perdana Menteri diisi oleh bukan Islam dan Abdul Hadi hanya diberi jawatan menteri biasa menjaga belia atau kebudayaan? Kenapa Abdul Hadi tidak disebut-sebut sebagai pemimpin yang harus didaulatkan? Mana slogan Kepemimpinan Ulama?," tegasnya.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
KESIMPULAN MUSTIKA: PAS SUDAH DICUCUK HIDUNG. IKUT TELUNJUK ANWAR
-----------------------------------------------------------------------------------------------

Wakil Pulau Pinang, Mohd Radzuan Ramli, menghangatkan lagi suasana apabila mengingatkan Pas supaya jangan meruntuhkan kerajaan jahiliah lama dan menggantikan pula dengan kerajaan jahiliah yang baru. "Jangan dok kemaruk 16 September runtuhkan kerajaan jahiliah lama Umno diganti dengan kerajaan jahiliah baru yang jayakan kepentingan luar seperti Amerika," katanya sambil meminta Pas keluar daripada Pakatan Rakyat jika kerajaan yang dibentuk kelak meminggirkan Islam.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
KESIMPULAN MUSTIKA: PAS SEDAR ANWAR BERSEKONGKOL DENGAN AMERIKA
-----------------------------------------------------------------------------------------------

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohd Daud Iraqi, berpendapat Abdul Hadi adalah tokoh paling sesuai dilantik sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat memerintah negara ini. "Jika kita berjaya membentuk kerajaan baru selepas 16 September ini, kita berpendapat Presiden Pas paling layak menjadi Perdana Menteri. "Itu pandangan Dewan Ulama. Tentulah kita kata presiden kita yang layak. Kalau parti lain akan mengatakan presiden mereka yang layak," katanya. Sebelum ini, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah, juga mahukan Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat
mengambil alih pemerintahan.
------------------------------------------------------------------------------------------------
KESIMPULAN MUSTIKA: ANWAR BUKAN ORANG YANG LAYAK UNTUK MENJADI PEMIMPIN
------------------------------------------------------------------------------------------------