Berita Harian online
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari penamaan calon bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu ialah pada 6 Januari tahun depan dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 17 Januari.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tarikh writ dan notis ditetapkan dikeluarkan pada 7 dan 21 Disember ini.
"Penetapan tarikh ini dilakukan dengan mengambil kira dan meneliti pandangan pelbagai pihak, termasuk ramalan cuaca Jabatan Meteorologikal yang mengatakan Terengganu akan berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dalam masa terdekat.
"17 Januari ialah tarikh yang sangat sesuai kerana ia memberi peluang kepada semua pihak yang terbabit untuk melakukan persediaan rapi, khususnya parti-parti yang akan bertanding dalam menentukan calon yang sesuai," katanya mengumumkan tarikh itu selepas bermesyuarat mengenai perkara tersebut di ibu pejabat SPR di sini hari ini.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail akibat serangan jantung, di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, jumaat lepas.
Wan Ahmad berkata, Daftar Pemilih yang akan diguna pakai untuk pilihan raya tersebut ialah Daftar Pemilih yang diperakui dan disahkan semula semalam dan diwartakan hari ini.
Daftar pemilih ini mengandungi 80,229 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 79,194 pemilih biasa dan 1,035 pemilih pos dan layak mengundi pada pilihan raya kecil berkenaan, katanya.
Beliau berkata pilihan raya tersebut akan membabitkan 36 pusat mengundi dan 143 saluran mengundi serta 877 petugas di seluruh kawasan pilihan raya itu.
Mesyuarat yang sama juga katanya, telah bersetuju untuk menubuhkan dua pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau dan mengawasi keseluruhan perjalanan aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.
Pasukan berkenaan yang akan diketuai seorang Pegawai Penguatkuasa antara lain membabitkan wakil calon yang bertanding, anggota Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai polis yang berpangkat Inspektor ke atas sebagai anggota.
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ahmad memberitahu bahawa Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Razali Kassim dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya manakala enam orang dilantik sebagai Penolong Pegawai Pengurus.
Sementara itu, beliau berkata SPR bersetuju membenarkan kehadiran wakil Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) untuk menjalankan pemerhatian dengan syarat yang ditetapkan SPR.
Beliau berkata pemerhati hanya dibenarkan berada di pusat mengundi pada hari pengundian dan mereka sama sekali dilarang memasuki saluran pengundian.
"Undang-undang tidak membenarkan sesiapa saja masuk ke dalam saluran pengundian kecuali petugas pilihan raya, ejen calon, pengundi, anggota SPR dan mereka yang dibenarkan oleh SPR saja.
"Kita masih membenarkan Mafrel membuat pemantauan seperti pada pilihan raya umum ke-12, (8 Mac) dan pilihan raya kecil Permatang Pauh, (26 Ogos) tapi syarat tu ketat kerana kita tak mahu urusan perjalanan pilihan raya diganggu kelancaran," tegas beliau. - Bernama
1 comment:
Salam Sis,
blog ini menghina Islam, kita perlu perangi blog ini,
http://surind.blogspot.com/2008/12/hajj-most-shameful-journey-in-history.html
Sumber diperolehi daripada ahli BPN FAZRULLs
Post a Comment