sumber: Berita Harian Online
SPR tetapkan tarikh pengundian diadakan pada Ramadan
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang pada 25 Ogos ini, manakala penamaan calon pada 17 Ogos. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata SPR menerima makluman rasmi Speaker DUN Pulau Pinang mengenai kekosongan kerusi berkenaan pada 3 Ogos lalu berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, pada 31 Julai lalu.
Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir adalah pilihan raya kecil kelapan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac tahun lalu. Sebelum ini, pilihan raya kecil DUN Lunas, Kedah pada 2000 dan pilihan raya umum Sabah pada 1994 juga diadakan pada Ramadan. Abdul Aziz berkata, SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2008 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2009 yang sudah dikemas kini sehingga 31 Julai lalu.
"Berdasarkan daftar itu, pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir mengandungi 20,290 pengundi berdaftar, termasuk seorang pengundi pos," katanya semalam.
Beliau berkata, pusat penamaan calon dan penjumlahan undi ialah di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, manakala pengundian, proses pengeluaran dan pengiraan undi pos di Pejabat Daerah Seberang Prai Tengah.
Sebanyak lapan pusat mengundi membabitkan lapan sekolah dan 39 tempat mengundi disediakan. Seramai 423 petugas akan terbabit dalam pengendalian pilihan raya kecil itu dan akan diberikan latihan mencukupi bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.
Selain itu, SPR akan menubuhkan tiga Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) mengikut Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang akan bertanggungjawab memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen dari 17 Ogos sehingga tamat hari mengundi. Katanya, SPR melantik Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Roslan Yahaya sebagai pegawai pengurus dan tiga penolong pegawai pengurus.
Pengundi boleh membuat semakan melalui laman web www.spr.gov.my atau SMS dengan menaip SPR SEMAK nombor kad pengenalan dan hantar kepada 15888 mulai 14 Ogos ini. Beliau turut mengingatkan semua parti politik dan penyokong mematuhi seksyen kecil 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan larangan berkempen pada hari mengundi dan mereka yang tidak mematuhinya boleh dipenjara maksimum setahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
Mengenai kebimbangan akibat Influenza A (H1N1), Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mendapatkan nasihat Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengenai langkah yang perlu diambil. "Bagi SPR, kakitangan yang bergaul dengan pengundi perlu memakai topeng. Pengundi yang dijangkiti H1N1, janganlah datang," katanya.
Pada pilihan raya umum lalu, Mohd Hamdan memperoleh 11,004 undi menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.
_________________________________________________________________
Mustikaindah: Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir..... Usaha Tangga Kejayaan. Seperti kata Perdana Menteri, Dato' Seri Najib: "KALAU KITA NAK MENANG, BUAT CARA NAK MENANG"
Tuesday, August 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment