KUALA LUMPUR 21 Okt. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dikritik di Dewan Rakyat termasuk didakwa bersikap talam dua muka dalam memperjuangkan nasib penduduk terutama di Sabah.
Salleh Kalbi (BN-Silam) berkata, Anwar tidak pernah memberi perhatian serius terhadap Sabah ketika beliau berada dalam kerajaan sebelum ini tetapi kini mengambil sikap yang berbeza.
Katanya, sikap prihatin terhadap Sabah yang kini ditunjukkan oleh pemimpin pembangkang itu hanya bertujuan mendapatkan sokongan daripada rakyat negeri tersebut.
''Ketika saya menjadi pelajar, kami pernah bertanyakan tentang biasiswa untuk pelajar Sabah tetapi Anwar ketika itu berkata tiada peruntukan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar Sabah," katanya.
Ketika membahaskan Bajet 2009, Salleh mempersoalkan tindakan Anwar yang kini kononnya mahu memperjuangkan kebajikan pelajar dari Sabah.
''Kenapa sekarang ini baru beliau mahu menjadi hero kampung di Sabah dan Sarawak," ujarnya.
Tindakan itu katanya, menunjukkan Anwar seorang yang bersikap talam dua muka dan simpatinya terhadap kedua-dua negeri tersebut hanya kerana mempunyai agenda tertentu.
Dalam pada itu, Salleh menggesa semua rakyat bersatu dan terus berpegang dengan kontrak sosial yang memungkinkan negara ini merdeka serta menikmati kemakmuran seperti hari ini.
No comments:
Post a Comment