Wednesday, October 22, 2008

Tenaga asing hanya sementara

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Keperluan terhadap tenaga kerja asing di Malaysia pada masa ini adalah bersifat sementara terutama bagi menampung kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad berkata, kerajaan telah menetapkan lima tindakan jangka pendek bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

Menurutnya, tindakan itu ialah penetapan siling pengambilan dan penerapan pelaksanaan proses automasi dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam sektor yang bergantung kepada tenaga kerja asing.

''Kementerian juga akan mempergiatkan usaha meningkatkan penyertaan rakyat tempatan dalam sektor yang kekurangan tenaga kerja dan merangka dasar serta strategi untuk meningkatkan tenaga buruh wanita di dalam pasaran buruh.

''Selain itu, kementerian juga akan menggiatkan usaha untuk menarik lebih ramai penyertaan rakyat tempatan di sektor seperti perladangan," katanya ketika menjawab soalan Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang).

Hari ini, media melaporkan tentang satu simposium yang mendedahkan hampir 20 peratus tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada warga asing dan ini bermakna nisbah pekerja di negara ini ialah seorang warga asing bagi setiap empat pekerja tempatan.

Menjawab soalan tambahan Hamim tentang 45 peratus kerja di negara ini berpihak kepada warga asing seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia, Noraini berkata, ia terjadi apabila mereka menyalahgunakan permit.

''Penyalahgunaan permit berlaku apabila ada warga asing melakukan dua kerja dalam satu masa seperti orang gaji tetapi bekerja di restoran makanan," ujarnya.

Katanya, perkongsian maklumat memang sentiasa dilakukan terutama pemantauan pekerja asing kini giat dilakukan menerusi Jabatan Tenaga Kerja untuk menganalisis dan memantau bersama dengan Jabatan Imigresen.

No comments: