GEORGETOWN - Bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nordin membidas Pas kerana turut menyokong Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Hafiz yang juga Pengerusi Badan Anti IFC (Badai) berkata, tindakan Pas itu amat memalukan kerana menyokong pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun mengetahui personaliti dan tindak tanduknya sebelum ini, terutama ketika di dalam UMNO.
“Bagaimana Pas tergamak mengangkat seorang yang pernah mencabar pelaksanaan hudud di Kelantan ke mahkamah, terlibat dan menyokong penubuhan IFC (Suruhanjaya Antara Agama) serta berhasrat membuang kekuatan mahkamah syariah dalam perlembagaan dengan kempen terhadap Artikel 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan.
“Dia tidak pernah patah balik termasuk menarik balik tuduhan atau meminta maaf atas keterlanjurannya menghina umat Islam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Artikel 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan menyebut mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah tidak boleh dipinda.
Menurutnya, Zaid pada zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mempunyai perjuangan dengan agenda tersembunyi yang tidak sepatutnya dilakukan sebagai orang Islam.
Katanya, Zaid juga terlibat dengan penerbitan buku-buku sekularis, liberalis dan anti hadis melalui sebuah syarikat penerbitannya.
“Dia adalah seorang yang berjiwa pluralisme berdasarkan tulisan dalam bukunya berjudul In Good Faith.
“Adakah orang seperti ini sesuai untuk menjadi pemimpin?,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut membidas PKR dan PR kerana mencalonkan Zaid Ibrahim sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu yang tidak langsung mencerminkan hasrat murni perjuangan umat Islam.
“Carilah calon yang lebih sesuai dan mampu meningkatkan martabat bangsa dan agama serta berkeupayaan membela nasib pengundi,” katanya.
___________________________________________________________________
Mustikaindah: Pemimpin muda PAS secara terang-terangan menyatakan tentangan terhadap calon yang dipilih PKR.
No comments:
Post a Comment