Thursday, April 24, 2008

KAH CHOON TIDAK SETIA-ABDUL RASHID


BUKIT MERTAJAM 23 April - Tindakan bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan, Datuk Lee Kah Choon keluar daripada parti itu wajar dan munasabah, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang tidak wajar bagi seseorang pemimpin daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) berkhidmat dengan kerajaan yang diterajui parti pembangkang.
'
'Sekarang dia boleh berkhidmat untuk kerajaan, tetapi bukan kerajaan BN. Sesuai dan wajar dia (Kah Choon) keluar daripada Gerakan,'' katanya di sini hari ini.
Katanya, dengan menarik diri daripada Gerakan, ia sekali gus membolehkannya menumpukan tugas-tugas yang diamanahkan dan membuat keputusan untuk membantu kerajaan negeri.
Menurut Rashid, sekiranya Kah Choon ingin berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang, beliau masih boleh berbuat demikian melalui BN atau Gerakan, bukannya dengan menyertai kerajaan yang diterajui oleh pembangkang.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. S. Vijayaratnam kecewa dengan tindakan Kah Choon kerana beliau merupakan orang lama dalam parti.
Katanya, tindakan Kah Choon itu menunjukkan beliau tidak setia kepada Gerakan dan BN kerana dari awal lagi telah menunjukkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan parti pembangkang.
''Saya tidak boleh menerima cara beliau dan berasa amat kecewa,'' katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya berkata, bekas Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Lee Kah Choon membuat keputusan tepat bertindak keluar daripada parti itu selepas bersetuju menganggotai lembaga pengarah syarikat pelaburan kerajaan negeri yang kini dikuasai DAP.
Menurutnya, sebagai ahli Barisan Nasional (BN), beliau tidak sepatutnya menerima tawaran pelantikan sebarang jawatan daripada kerajaan negeri itu.
''Ahli BN perlu berpegang pada prinsip dan disiplin parti. Saya terkejut apabila mendengar Kah Choon sanggup menerima tawaran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.