Wednesday, September 02, 2009

KOTA SIPUTEH KEKAL MILIK BN

Sumber: Berita Harian Online


Mesyuarat tidak dihadiri Adun bukan dua kali berturut-turut dalam satu penggal: SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, di Kedah, kekal milik Adun Barisan Nasional (BN), Datuk Abu Hassan Sarif selepas mendapati kegagalannya menghadiri dua mesyuarat tidak bercanggah dengan Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (UTKNK).

SPR mendapati mesyuarat yang tidak dihadiri oleh Abu Hassan bukan dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal seperti yang didakwa oleh Speaker DUN Kedah, Datuk Abdul Isa Ismail, sebelum ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata ia adalah dua mesyuarat untuk dua penggal yang berbeza dan surat cuti sakit yang dikemukakan Abu Hassan kepada Speaker lebih awal sebelum 9 Ogos lalu tidak menyebabkan surat cuti sakit itu terbatal.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbar selepas Mesyuarat Khas SPR bagi membincangkan perkara itu, semalam.

Mengikut Warta Kerajaan Negeri Kedah (KPU 5/2009), Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah mengisytiharkan jam 9 pagi 19 April lalu sebagai tarikh dan waktu Mesyuarat Kelima Penggal Persidangan Pertama DUN Kedah, manakala mengikut KPU 10/2009, Sultan Kedah mengisytiharkan jam 9 pagi 9 Ogos sebagai tarikh dan waktu Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua DUN Kedah.

Abdul Aziz berkata, SPR juga berpendapat, sebelum Perkara 51 UTKNK digunakan, isu itu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan terlebih dulu.

Beliau berkata, dalam memutuskan isu ketidakhadiran Adun berkenaan, takrif perkataan mesyuarat, penggal persidangan dan persidangan sudah diberi perhatian dan tafsiran mengikut Perkara 2 UTKNK dan Peraturan 96 Peraturan Mesyuarat DUN Kedah, dilengkapkan dengan rujukan kepada Fasal 1 Perkara 53 UTKNK dan Peraturan 11 Peraturan Mesyuarat DUN Kedah.

Katanya, SPR yang meneliti surat Abu Hassan kepada Speaker bertarikh 10 Ogos dengan permohonan maaf dan mengepilkan sijil sakit sehari sebelumnya, menunjukkan beliau tidak sihat untuk bertugas pada 9 dan 10 Ogos.

Selain itu, beliau berkata, Abu Hassan menghantar mesej menerusi SMS kepada Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengenai ketidakhadiran pada hari berkenaan kerana sakit dada.

"Berdasarkan dokumen berkenan dan meneliti fakta ketidakhadiran Abu Hassan pada 9 Ogos 2009, SPR mendapati ia disebabkan beliau sakit. Bagaimanapun, tiada maklumat yang diterima sama ada penjelasan itu sudah diberi pertimbangan atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, bagi menyelesaikan isu berkenaan mengikut Fasal 5 Perkara 53 UTKNK, SPR perlu menentukan bahawa Adun berkenaan tidak hadir dua kali mesyuarat berturut-turut dan diberi peluang menjelaskan sebab tidak hadir.

Di ALOR SETAR, Abu Hassan berkata, beliau amat bersyukur selepas menerima berita gembira itu pada jam 4.40 petang semalam daripada Mahdzir menerusi panggilan telefon.

Katanya, keputusan itu adalah kemenangan baginya kerana sejak empat penggal menjadi Adun di situ, beliau tidak pernah mempunyai rekod buruk berhubung kehadiran ke mesyuarat.

"Kes ini memberi pengajaran kepada saya dan Adun lain daripada BN atau Pakatan Rakyat supaya berhati-hati dan tidak memandang mudah terhadap kehadiran bagi mengelak kes sama berulang.

"Dengan kepercayaan diberi ini saya akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan berbakti dengan lebih cemerlang. Malah, sejak kes ini timbul dua minggu lalu, saya tetap menjalankan tugas seperti biasa kerana bagi saya sebelum SPR mengeluarkan keputusan saya masih lagi wakil rakyat," katanya.

Mustikaindah: Pemimpin Pakatan Rakyat Kedah tak sabar-sabar nampaknya nak singkirkan ADUN BN ini walaupun kesalahan nya ternyata bukan disengajakan.