MENIUPKAN semangat patriotisme kepada orang Melayu nampaknya tidaklah boleh diambil mudah oleh kerajaan yang memerintah negara berbilang kaum ini. Orang Melayu biasanya mudah khayal, mudah alpa dan sangat senang melupakan sesuatu peristiwa pahit atau menyayat hati. Orang Melayu dengan senang melupakan walaupun sesuatu peristiwa itu, mungkin merupakan satu titik hitam dalam hidupnya. Sifat pemaaf orang Melayu telah diakui oleh semua bangsa. Yang malangnya apabila orang Melayu bersabar ada pula orang lain yang cuba memijak kepalanya, mereka mengambil kesempatan atas kesabaran dan kelembutan orang Melayu. Dan bila orang Melayu telah tersepit, maruah telah tercabar, kesabaran pun biasanya akan lenyap.
Sebenarnya orang Melayu telah banyak kali dicabar, antaranya waktu pemerintahan Inggeris, pemerintahan Jepun dan zaman pemerintah dua minggu Bintang Tiga, malah di zaman kesultanan Melayu Melaka pun orang Melayu pernah dicabar. Pada masa-masa terdesak begini biasanya orang Melayu dapat melupakan darjat dan kedudukan mereka, mereka akan berpimpin tangan bagi menghancurkan petualang-petualang ini. Mereka akan segera teringatkan pegangan kuat bangsanya ''bersatu teguh, bercerai roboh'', ''bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat''. Mereka akan sehidup semati - ibarat telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua. Apabila segalanya telah tenang, orang Melayu dengan mudah membuangnya dari lipatan sanubari mereka. Mereka umpama tidak pernah merasa serik atau jeran. Akhir-akhir ini perpaduan orang Melayu kembali longgar. Kedengaranlah komen, rata-rata mereka menunding jari kepada orang Melayu dalam kerajaan serta pemimpin-pemimpin tempat mereka bergantung harap.
Rungutan-rungutan yang didengar: Orang Melayu telah lupa diri. Mereka terlalu yakin dan khayal, mereka yakin kedudukan mereka tidak mungkin tergugat.
Sesungguhnya tidaklah dapat dinafikan kerajaan memang membangunkan negara dengan pesatnya, kerajaan telah berjaya menebus maruah bangsa Melayu dan meletakkannya di tempat yang sepatutnya. Itu semua tidak semestinya rakyat dipinggirkan, orang Melayu sangat memandang tinggi budi bahasa dan sopan santun, mereka tidak boleh dikaburi dengan kereta menjalar dan kemewahan yang ditonjolkan.
Pemimpin-pemimpin yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat tidak sepatutnya mengambil mudah perkara ini. Jangan lupa dengan 'kuasa rakyat'. Generasi sekarang mungkin tidak percaya kebanyakan datuk nenek dan orang tua mereka dulu makan nasi sekali sehari, kain basahan tidak kering dipinggang, pakaian cumpang-camping, mereka dihina, malah hendak 'mengangkat' muka pun tidak berani.
Setelah kita berkerajaan sendiri, semangat orang Melayu kembali rasa bermaruah, mungkin begitulah rasanya orang-orang Melayu di zaman kerajaan Melayu Melaka dahulu.
Nasib orang-orang Melayu terbela, mereka ada wakil rakyat tempat mengadu, segala kesulitan mereka didengar, wakil rakyat mereka pada ketika itu betul-betul berbakti untuk rakyatnya. Nama wakil rakyat harum dan mereka amat dihormati.
Allahyarham Datuk Jalok sangat terkenal di kawasannya dan dia amat dihormati, terdengar sahaja ada kematian di kawasannya pasti beliau akan menziarahi dan jarang menolak jemputan kenduri sama ada kecil ataupun besar. Kebanyakan masanya berada di dalam kawasannya, jadi istilah susah nak jumpa wakil rakyat tidak timbul sama sekali di kawasannya. Allahyarham juga senang dihubungi di mana saja. Dalam keretanya disimpan keperluan pejabatnya seperti rubber stamp serta stamp pad. Beliau sangat disenangi oleh pegawai-pegawai kerajaan kerana beliau juga sangat peramah dengan pegawai-pegawai kerajaan.