Tuesday, April 29, 2008

WAKIL RAKYAT BN SABAH TOLAK PEMBANGKANG

SANDAKAN 28 April - Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Sabah tidak pernah terfikir untuk menyertai pihak pembangkang seperti yang diuar-uarkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran, Datuk Juslie Ajirol berkata, kenyataan Anwar itu cuma strategi baru politiknya untuk melemahkan BN di Semenanjung yang dilanda masalah selepas prestasi buruk pada pilihan raya umum lalu.
"Semua wakil rakyat BN Sabah tidak berhasrat untuk melompat ke PKR atau parti pembangkang lain yang ada di negeri ini. Di Sabah, kita menolak sepenuhnya parti pembangkang terutamanya PKR Sabah.
"Perkara ini telah dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu," katanya semasa berucap pada majlis penutup Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram Batu 19 dekat sini semalam.
Ahli Parlimen Libaran itu berkata, Anwar hanya berangan-angan kosong dan perbuatannya jelas sedang mengelirukan rakyat terutamanya di negeri ini.
Beliau berkata, Anwar sememangnya sedia maklum, senario politik di Sabah amat berbeza dengan Semenanjung dan menyedari tidak ada wakil rakyat BN yang akan menyertai pembangkang.
Justeru, beliau meminta Anwar menghentikan perbuatan meraih sokongan wakil rakyat BN bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri kerana tidak ada pemimpin BN Sabah yang akan melompat parti.
"Angan-angan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan kesampaian kerana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri BN Sabah tidak akan sesekali mengkhianati BN dan amanah yang diberi rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu, Juslie turut meminta rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan cakap-cakap kosong parti pembangkang terutama PKR yang kononnya mempunyai jumlah wakil rakyat BN yang cukup untuk berpaling tadah.
Jelasnya, kenyataan itu tidak tepat kerana tiada bukti kukuh dan ia dibuat untuk kepentingan politik pihak pembangkang yang terlalu ingin menubuhkan kerajaan Persekutuan.
(DIPETIK DARIPADA UTUSAN ONLINE: 29 APRIL 2008)
_____________________________________________
MUSTIKA: SUDAH TERANG LAGI BERSULUH......

1 comment:

Anonymous said...

oleh kerana pembangkang terutama DSAI terlalu taksub dengan pakatan untuk menjatuhkan kerajaan secara senyap-senya, inilah yang berlaku

dalam tak sedar mereka ibarat meludah ke langit.