Thursday, May 15, 2008

ELAKLAH LOMPAT PARTI HANYA TERMAKAN JANJI MANIS

- GUNAWAN MAHMOOD
Kuala Lumpur.

SAYA amat tertarik dengan pandangan Datuk Mohamed Aziz, Ahli Parlimen Sri Gading bahawa anggota Parlimen janganlah sombong mendakwa kehebatan masing-masing. Ini kerana kemenangan mereka adalah kerana parti yang mendukung mereka.

Mereka popular, disanjung dan dijunjung rakyat bukan kerana peribadi. Melainkan mereka ditatang oleh parti bukan mereka menatang parti. Oleh yang demikian, mereka jangan sombong mahu melompat ke sana-sini.

Mereka terikat dengan amanah yang diberi oleh rakyat. Jika rakyat mahu mereka berada di dalam Barisan Nasional (BN) maka mereka mesti berada di dalam BN. Kalau rakyat mahukan pembangkang, mereka boleh buat keputusan awal lebih dahulu untuk tidak memilih BN.

Maka jagalah amanah para pengundi yang telah memilih wakil rakyat sekelian. Kata pepatah Barat, 'batu yang bergolek tidak akan dapat mengumpul lumut'. Jika kita sibuk lompat-melompat, apa perkhidmatan atau pembangunan yang dapat kita beri kepada rakyat.

Apakah semua ahli Parlimen yang melompat dapat menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan setiausaha Parlimen.

Tentulah tidak. Kalau diikutkan janji-janji manis dan cerita dari mulut ke mulut nanti, barangkali ada macam-macam jawatan yang tidak masuk akal.

Sememangnya laungan bagi memajukan Sabah dan Sarawak adalah wajar. Tetapi laungan itu agak 'keras' di saat kerajaan memerlukan sokongan padu semua ahli Parlimen BN. Dulu mereka bersuara tidak sekeras ini. Persoalannya kenapa?

Saya setuju dengan pandangan Mohamed Aziz bahawa Johor selalu menang besar khususnya sekitar tahun 1980-an tetapi tidak banyak kerusi menteri diperuntukkan untuk Johor ketika itu. Komitmen membangunkan rakyat menjadi keutamaan. Bukan kerana orang-orang Johor "enggeh" semata-mata.

Ingatlah ahli-ahli Parlimen BN, rakyat mengharap khidmat anda sebagai orang yang paling dekat dengan kerajaan. Kesungguhan memajukan rakyat amatlah dialu-alukan.

Kita mestilah memastikan bahawa rakyat menjadi keutamaan sepanjang masa, dulu, kini dan selamanya. Bukan setelah berpuluh tahun menjadi wakil rakyat, baru hari ini kita mendakwa berjuang untuk rakyat miskin.

Teguran Mohamed Aziz cukup membina. Jiwa perjuangannya terus membara. Marilah kita tutup kisah rumah banglo atau rumah teres. Mudah-mudahan BN Sabah terus utuh seutuh Gunung Kinabalu. Tidak terusik walau sedikit pun oleh gangguan ribut ilusi.


UTUSAN ONLINE

No comments: