Monday, June 16, 2008

PEMULANGAN ROYALTI MINYAK TINGKAT EKONOMI TERENGGANU

Minda Pengarang:


KERAJAAN Persekutuan menunaikan janjinya kepada rakyat Terengganu dengan menyerahkan semula bayaran lima peratus royalti minyak kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi tujuan pembangunan dan kesejahteraan penduduk. Langkah itu dijangka dapat menambah kantung perbendaharaan negeri yang akhirnya dapat dimanfaatkan bagi kemajuan dan kemakmuran penduduk. Kita melihat tindakan Kerajaan Pusat itu sebagai langkah terbaik bagi mengembalikan hak kerajaan negeri Terengganu untuk mengurus sendiri bayaran hasil minyak yang diperoleh di luar pantai persisiran negeri berkenaan, sama seperti yang diberikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak. Tanpa menjelaskan jumlah yang diberikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkannya kelmarin di Terengganu meminta kerajaan negeri menguruskan wang yang disalurkan itu sebaik mungkin dan berhemah. Sejak tahun 2000, wang royalti yang dikenali Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) diuruskan Kerajaan Pusat yang kemudian menyalurkannya untuk tujuan pembangunan negeri. Dilaporkan sejumlah RM4.3 bilion daripada DKKP disalurkan untuk bajet negeri selama empat tahun bermula 2004. Kita berharap kerajaan Terengganu dapat menguruskan dana itu dengan baik supaya pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan adil dan saksama seperti yang diharapkan rakyat.

Bukan mudah untuk menguruskan kekayaan negeri kerana ada pihak yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menggunakannya bagi kepentingan diri tetapi berselindung atas nama pembangunan rakyat. Kumpulan ini sentiasa saja memikirkan untuk mencipta peluang yang boleh menguntungkan mereka tanpa mengambil kira sama ada projek atas nama pembangunan itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat atau sebaliknya. Kita tidak mahu, apa lagi ketika dunia menghadapi kesan kenaikan harga minyak sekarang, kekayaan negeri digunakan sewenang-wenangnya atas nama pembangunan tetapi hanya menguntungkan kelompok tertentu. Namun, kita juga akur, sebanyak mana wang yang dimiliki, jika tidak dibelanjakan, ia tidak memberi manfaat kepada negeri dan rakyat. Justeru itu, kita berharap dan percaya kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Ahmad Said akan menguruskan dana itu secara berkesan dan memberi manfaat kepada seluruh lapisan rakyat Terengganu.

Apa yang rakyat mahu ialah setiap sen daripada wang royalti itu digunakan untuk pembangunan yang dapat membangunkan sosioekonomi mereka terutama di kawasan belum maju. Tumpuan harus diberikan kepada bidang latihan dan pendidikan untuk membina modal insan kerana ia bakal mengubah status penduduk miskin di kawasan luar bandar di Terengganu. Kerajaan negeri mungkin boleh mempelajari kaedah pentadbiran negeri Sarawak menguruskan dana kewangan negeri secara teratur sehingga berjaya bukan saja mengurangkan hutang malah dapat mengagihkan pembangunan kepada kawasan yang memerlukan dengan berkesan. Kini menjadi tanggungjawab kerajaan Terengganu untuk memastikan hasil royalti minyak dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat dan pada masa yang sama elak boros. Kita percaya jika dana itu diuruskan dengan baik, Terengganu bukan saja boleh memperbaiki kedudukannya daripada negeri yang tergolong dalam kategori miskin kepada kelompok negeri maju. Dengan itu, tidak ada lagi pihak terutama pembangkang yang boleh menjadikan isu penggunaan royalti minyak ini menjelang pilihan raya.


BERITA HARIAN

************************************************************************************

mustika indah: sekadar petikan rencana untuk difikirkan.

No comments: