Wednesday, October 22, 2008

Penurunan harga barang diumum Jumaat ini

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad akan mengumumkan penurunan beberapa harga barang keperluan pengguna yang bukan di bawah kawalan kerajaan Jumaat ini.

Katanya, penurunan itu melibatkan harga beberapa barangan keluaran sebuah syarikat pengeluar dan pengilang yang mempunyai pasaran dunia yang agak besar.

''Hari Jumaat ini akan saya umumkan bagi pihak syarikat pengilang tersebut. Ini adalah satu permulaan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ditanya peratus penurunan harga tersebut dan jenis barangan yang terlibat, beliau hanya memberi jawapan pendek: ''Anda akan terkejut dengannya."

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harga barang keperluan pengguna yang tidak turun-turun walaupun harga minyak yang sentiasa dijadikan alasan kenaikan harga barang, telah turun 40 sen seliter sejak bulan lalu.

Sementara itu, Shahrir berkata, beliau sedar tentang tindakan sesetengah pekedai runcit di kawasan kampung yang menjual beras 15 peratus hancur (ST15) melebihi harga ditetapkan.

Mengakui perbuatan itu sebagai salah, katanya, beliau memahami tindakan penjual tersebut yang disebabkan oleh masalah pengedaran beras jenis itu yang 'kurang digemari' oleh pihak pemborong dan pengedar.

''Memang ada kawalan dan subsidi pada pengilang untuk menggalakkan pengeluaran tetapi apabila sampai kepada pemborong, mereka melihat margin keuntungannya tidak mencukupi.

''Sebab itu, kadang-kadang pemborong memaksa pekedai mengambil beras lima dan 10 peratus hancur (SST5 dan SST10) kalau pekedai itu mahu mendapat bekalan beras ST15 ini," katanya.

Sehubungan itu, Shahrir berkata, bagi mengatasi masalah pengedaran barangan tersebut, kementerian telah menjalankan satu projek percubaan di Pekan, Pahang dan Seberang Prai Utara, Pulau Pinang.

Katanya, tempoh percubaan itu telah selesai dan kementerian akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk melaksanakan satu sistem pengedaran secara berkesan di kawasan pedalaman menggunakan rangkaian pengedaran sedia ada.

''Saya akan rangkum rancangan kita itu untuk mewujudkan satu badan atau pihak bertanggungjawab dalam mengurus pengedaran ini tanpa kita sendiri pergi membeli lori dan sebagainya," katanya.

No comments: