Tuesday, April 22, 2008

BPR DISTRUKTUR SEMULA

Apabila Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa BPR akan distuktur semula, banyak cakap-cakap belakang kedengaran kedengaran. Adakah ini juga ingin dijadikan isu oleh pihak-pihak yang sengaja mencari dan membangkitkan masalah?? Ayuh kita fahami dan selami dahulu isi kandungan inisiatif kerajaan untuk membanteras gejala atau isu rasuah di negara ini.
Kerajaan telah menggariskan empat inisiatif untuk membanteras dan memerangi rasuah di Malaysia.

1) Penstrukturan semula BPR sebagai Suruhanjaya Bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia.
2) Menambah jumlah anggota dan pegawai penguatkuasa antirasuah daripada 2,000 orang sekarang kepada 5,000 dalam tempoh lima tahun.
3) Memperkenalkan undang-undang melindungi pemberi maklumat dan saksi
4) Menambah baik sistem perolehan awam.

Dengan memberi kebebasan kepada BPR, ia akan membolehkan agensi itu melaksanakan setiap tugas dengan baik. Justeru, dengan kesungguhan kerajaan untuk menstrukturkan semula BPR dengan menjadikan nya sebuah suruhanjaya, akan dapat meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti awam selain mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap agensi tersebut. Dari segi pendakwaan, suruhanjaya tersebut perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum membawa apa jua kes ke mahkamah kerana jabatan itu masih bertindak sebagai pihak pendakwa bagi suruhanjaya tersebut. Proses penstrukturan semula BPR ini dijangka akan selesai sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

Sebuah lembaga penasihat akan ditubuhkan di bawah suruhanjaya tersebut yang dikenali sebagai Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah. Semua anggota lembaga penasihat terbabit akan dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Lembaga ini berfungsi sebagai penasihat kepada suruhanjaya sama ada mengenai pentadbiran atau operasi. Mereka juga akan diberikan taklimat terutama berkaitan kes-kes kepentingan awam. Dalam hal ini mereka boleh mempersoalkan mengenai tindakan yang diambil oleh suruhajaya dan mencadangkan jenis tindakan yang seharusnya diambil. Apa yang paling penting, lembaga tersebut akan bertindak meyakinkan orang ramai bahawa kes-kes yang berkepentingan awam ditangani dengan sewajarnya oleh suruhanjaya tersebut.

Selain itu, sebuah jawatankuasa Parlimen akan ditubuhkan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Parlimen Mencegah Rasuah. Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia bertanggungjawab membentangkan laporan tahunan nya kepada jawatankuasa berkenaan. Anggota jawatankuasa ini juga ditugaskan untuk menyemak serta mendapatkan penjelasan terhadap segala yang terdapat di dalam lapran tersebut.

Sejajar dengan statusnya sebagai suruhanjaya, agensi membanteras rasuah dengan kuasa baru, akan mempunyai kebebasan untuk merekrut pegawai dan kakitangan termasuk menawarkan tangga gaji yang lebih menarik. Tujuan kerajaan memberi kebebasan kepada suruhanjaya untuk mempunyai tangga gaji yang lebih menarik dan berbeza ini bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan profesional menyertai agensi tersebut. (maklumat dipetik daripada Utusan Malaysia Online)

Mustika tidak mengerti mengapa sebilangan orang yang mengikuti berita dan pengumuman oleh Pak Lah cuba menafikan penstrukturan semula BPR. Dakwaan yang timbul kononnya pengumuman Pak Lah ini sudah terlambat tidak sepatutnya timbul. Ini kerana apa sahaja yang dilakukan perlu mengikut prosedur dan bukannya boleh terus wujud. Terdapat satu sumber yang menyebut bahawa kenyataan Pak Lah melambangkan kejayaan parti pembangkang dan masyarakat sivil yang sentiasa mendesak untuk memerdekakan BPR yang seharusnya berfungsi secara bebas, khususnya dalam keadaan banyak kes penyelewengan berlaku di kalangan pentadbir dan pemimpin kerajaan. Apa yang ingin Mustika sampaikan cuma satu sahaja......... Sumber yang bercakap umpama 'KUMAN DISEBERANG LAUT NAMPAK TAPI GAJAH DIDEPAN MATA TAK NAMPAK'. Tak perlu Mustika huraikan dengan lebih panjang lebar kerana semua orang seudah memahami maksud peribahasa itu.....

Pak Lah telah pun bertindak bijak dengan mewujudkan suruhanjaya yang akan menggantikan BPR. Hal ini masih belum terlambat dan penstrukturan semula ini bukan kerana desakan pihak pembangkang sebaliknya sebagai usaha berterusan kerajaan untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.

No comments: