Wednesday, April 30, 2008

UTAMA KEPENTINGAN NEGARA


DEMOKRASI BERPARLIMEN: Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah diiringi Abdullah dan Najib pada istiadat pembukaan penggal pertama Persidangan Parlimen Malaysia ke-12, semalam.


Seri Paduka tak mahu Ahli Parlimen guna Dewan Rakyat, Negara untuk tonjol diri

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu Ahli Parlimen meletakkan kepentingan negara sebagai matlamat utama serta tidak menggunakan Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk kepentingan politik individu. Sambil melahirkan penghargaan kepada semua pihak atas kelancaran proses Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu, Seri Paduka bertitah, Ahli Parlimen perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur serta sentiasa mempamerkan tingkah laku terpuji demi maruah diri dan negara.

"Penghormatan dan keyakinan rakyat kepada Parlimen sebagai sebuah badan perundangan tertinggi negara bergantung kepada peranan yang dimainkan Ahli Parlimen. Laksanakanlah kepercayaan yang diberi oleh rakyat dengan mengambil bahagian yang aktif dan penuh tanggungjawab dalam semangat demokrasi berparlimen. "Jadikanlah Dewan ini sebagai persada untuk menyampaikan teguran membina dan pendapat yang bernas," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal pertama Persidangan Parlimen ke-12 semalam. Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Terdahulu, ketibaan Seri Paduka berdua di pekarangan bangunan Parlimen disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Yang di-Pertuan Agong kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan seramai empat pegawai dan 102 anggota dari Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) Sungai Besi yang diketuai Ketua Kawalan, Mejar Mohd Radzi Othman. Serentak itu, tembakan meriam 21 das dilepaskan. Tuanku Mizan bertitah, semua pihak perlu memikul tanggungjawab memastikan semua kaum bersatu padu dan menangkis segala cubaan untuk memecah belahkan rakyat kerana kunci kejayaan negara adalah hasil kestabilan politik dan perpaduan kaum. Seri Paduka juga menegaskan, kerajaan akan berusaha meneruskan pemberian subsidi dan pelbagai bantuan lain untuk kesejahteraan rakyat, terutama dalam menghadapi kesan kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa. Ketika ini, lebih RM36 bilion subsidi dan bantuan diperuntukkan bagi membendung kenaikan harga barang, selain meringankan beban perbelanjaan rakyat. Bagaimanapun, usaha itu tidak mencukupi, sebaliknya rakyat mesti bijak berbelanja dengan mengutamakan premis yang menawarkan harga berpatutan.

Baginda kesal dengan tindakan sesetengah pihak menyalahguna kemudahan subsidi dengan menyorok dan menyeludup barang keperluan untuk mengaut keuntungan besar. "Perbuatan itu sangat hina kerana mendatangkan kesusahan dan merampas hak rakyat," titah baginda. Tuanku Mizan turut menyentuh mengenai usaha kerajaan dalam menangani gejala rasuah dengan menstrukturkan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di samping menubuhkan Jawatankuasa Parlimen mengenai Pencegahan Rasuah. "Beta berharap usaha-usaha tersebut akan meningkatkan lagi keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti dalam usaha membanteras rasuah di negara ini. Pencapaian ekonomi dan pembangunan yang dinikmati selama ini tidak akan bermakna jika rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan, masih berlaku," titah baginda sambil meminta kerajaan meneruskan usaha penambahbaikan Perkhidmatan Awam bagi memenuhi kehendak rakyat dan pelabur. Mengenai pengumuman Perdana Menteri mengenai langkah memperkasakan sistem kehakiman negara baru-baru ini, Tuanku Mizan bertitah ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem itu terus kekal adil, dihormati dan bebas daripada sebarang pengaruh selaras dengan kehendak rakyat. "Sistem kehakiman yang adil dan efektif adalah penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara," titah baginda. Baginda turut menyarankan supaya kurikulum dan kaedah pembelajaran Program Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Permata Negara (Permata) diperluaskan ke seluruh negara dalam usaha membangunkan modal insan berkualiti. Ini kerana hasil kajian Universiti Pendidikan Sultan Idris mendapati kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mengikuti program itu mempunyai perkembangan emosi, sosial, intelek, rohani, pengurusan diri dan kemahiran komunikasi yang tinggi, menepati ciri-ciri modal insan yang mempunyai minda kelas pertama. Yang di-Pertuan Agong juga mahu kerajaan mengambil langkah tegas secara bersepadu dalam menangani gejala sosial bagi memastikan pembangunan modal insan dan kerohanian selari dengan pendekatan Islam Hadhari. "Beta memandang berat gejala sosial seperti penagihan dadah, penyelewengan akidah dan sebagainya yang boleh menjejaskan kesucian agama Islam," titah baginda.
(SUMBER: BHARIAN ONLINE)
_______________________________________________
THINK POSITIVE.
MUSTIKA BERHARAP TITAH SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG DI PANDANG BERAT OLEH PEMIMPIN-PEMIMPIN NEGARA. BUKTIKANLAH BAHAWA KEPIMPINAN YANG ADA PADA HARI INI MAMPU MENERAJUI NEGARA INI DENGAN BAIK DAN BIJAKSANA. JANGAN CAMPUR ADUKKAN EMOSI DAN PERIBADI DALAM PENTADBIRAN. BE A SMART LEADER.
TAHNIAH!!!

2 comments:

Anonymous said...

YDPA KIASKAN PEMIMPIN NEGARA....
PEMIMPIN YANG BANYAK SONGLAP DUIT RAKYAT, KEKAYAAN NEGARA.... ITULAH UMNO

mustikacitra-indah said...

seperti yang Mustika katakan sebelum ini, fikir secara positif. jangan suka menghukum.... yang penting intai minda tanya hati....