Tuesday, May 06, 2008

UMNO AMBIL KIRA SOKONGAN BN

(UTUSAN ONLINE)

KUALA LUMPUR 5 Mei - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, parti itu akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan asasnya membela nasib orang Melayu di negara ini, di samping mengambil kira sokongan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Tambahnya, setiap parti mempunyai agenda tersendiri dalam memperjuangkan nasib kaum mereka tetapi pada masa yang sama, gerakan atau matlamat mereka tidak seharusnya dilihat sebagai menakut-nakutkan mana-mana pihak.
"Usaha untuk membela kaum masing-masing akan diteruskan, tetapi pada masa yang sama, perjuangan atau pergerakan setiap parti itu janganlah sehingga rakan-rakan daripada komponen BN yang lain melihat ia (perjuangan) sebagai menakut-nakutkan mereka dan tidak mendapat sokongan mereka," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat semalam yang berkata, MCA selaku parti komponen kedua terbesar dalam BN perlu berubah daripada segi penampilannya dan mengamalkan pendekatan yang lebih bersifat pelbagai kaum agar tidak menghadapi risiko terpadam daripada landskap politik nasional.
Kata Hishammuddin, beliau menyokong kenyataan Tee Keat itu dan melihat ia satu langkah jangka panjang MCA dalam memperjuangkan nasib rakyat negara ini.
Tambahnya, beliau turut melihat pandangan Menteri Pengangkutan itu sejajar kehendak rakyat yang ditunjukkan menerusi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
"Kenyataan Tee Keat itu sungguh berani dan saya mengalu-alukannya. Saya melihat pendirian beliau (Tee Keat) sebagai satu perkara yang mendengar suara serta pandangan rakyat yang mahukan pembaharuan," ujarnya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Pemuda UMNO turut memikirkan perjuangan parti dalam konteks yang sama dan ia juga perlu disokong oleh kaum-kaum lain di negara ini.
"Kita perlu meyakinkan orang ramai bahawa perjuangan asas kita tidak akan lari daripada matlamat asal tetapi pada masa yang sama perjuangan ini perlu melibatkan semua kaum di negara ini.
"Hanya BN mempunyai jalinan terpuji untuk memastikan ia dapat dipertahankan dan sampai kepada golongan yang disasarkan dan pada masa yang sama boleh diterima oleh semua parti," katanya.

No comments: