Laman Web Pemuda UMNO
Posted on Friday, October 31 @ 10:23:22 MYT
Oleh S.A Najmuddin
Kuala Lumpur -- Pemuda UMNO membidas sangkaan pihak tertentu bahawa mereka boleh menjadi ‘wira’ dengan membangkitkan isu perkauman kerana majoriti rakyat sudah bosan dengan cerita politik atau perbincangan sedemikian.
Sambil melahirkan kebimbangan berhubung tindakan MCA dan MIC yang memainkan isu berbaur perkauman termasuk cadangan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam syarikat awam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebaliknya mahu pemimpin membuat kerja, bergerak dan menyatupadukan masyarakat.
Tindakan membangkitkan isu perkauman tegasnya hanya akan menghakis sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
"Dalam konteks ekonomi, jika peratusan menjadi pertimbangan, apalah gunanya kita bercakap mengenai menghapuskan 30 peratus kerana dalam kedudukan ekonomi dunia sekarang yang merudum, ia ia hanya satu angka dan peratusan kepada kek ekonomi yang mengecil tidak bermakna langsung.
"Lebih penting sekarang ialah kita tidak berpolemik dan berkisar kepada isu perkauman tetapi melihat ke hadapan bagaimana berhadapan dengan kegawatan ekonomi negara, apa rancangan dan juga cadangan daripada pihak MCA serta MIC untuk membantu memperkukuh ekonomi kita," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang 2008 di sini, Khamis.
Jelas beliau lagi sudah tiba masa untuk semua pihak bertanggungjawab melihat cabaran yang terpaksa negara hadapi, sebagai satu bangsa tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Ini kerana katanya masa akan datang ini cukup mencabar kerana ekonomi dunia menuntut semua pihak melihat penyelesaian dan bagaimana untuk kekal bertahan.
Media baru-baru ini melaporkan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai, meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam syarikat senarai awam bagi memastikan ia terus bersaing.
Ini disusuli kenyataan Pemuda MIC yang turut membuat desakan sama dengan Ketuanya, T Mohan, menegaskan sudah tiba masa untuk kerajaan berbuat demikian demi kepentingan bersama seluruh rakyat negara ini.
Mengulas lanjut perkara itu Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau dimaklumkan Liow bahawa kenyataan awal Menteri Kesihatan berkenaan mengenai isu penghapusan ekuiti Bumiputera itu disalah tafsir oleh media tertentu.
"Kita (BN) ada saluran untuk saling berbincang dan berinteraksi. Hakikatnya adalah tidak sesuai bagi pemimpin muda yang ingin mengorak langkah jauh ke hadapan mencetuskan isu berbaur perkauman.
"Proses pemilihan kepimpinan dalam parti BN akan menjadi ujian pemimpin bagaimana yang akan kita tonjolkan. Saya percaya hanya mereka yang beraspirasi nasional, mampu menyahut dan memikul perjuangan BN, akhirnya akan diterima rakyat," ujarnya.
Monday, November 03, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment