Wednesday, May 13, 2009

KEMELUT DI PERAK PERLU DIAKHIRI SEGERA

Krisis politik yang berlaku di negeri Perak sudah berlanjutan lebih dari 100 hari selepas Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin pada 6 Februari lalu.

Kemuncak krisis itu menyaksikan kekecohan yang berlaku lebih lima jam ketika mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sehingga terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah memutuskan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang dipohon Zambry.

Sampai bila kemelut ini akan berterusan? Hingga kini rakyat akan terus tertanya-tanya apakah yang akan berlaku seterusnya.

Baru-baru ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan mereka untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung kemelut politik di Perak. Malah, Dato' Seri Najib juga sudah menyatakan kesediaan kerajaan untuk bekerjasama dengan pembangkang bagi mencari titik persamaan dan jalan penyelesaian berhubung isu itu. Namun, Perdana Menteri mengatakan bahawa pembangkang tidak boleh meletakkan sebarang syarat jika benar-benar mahu berbincang dengan Barisan Nasional (BN) bagi mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Perak. Malah pembangkang juga perlu menghormati pendirian kerajaan yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama supaya krisis itu dapat diselesaikan secara baik.

Mustika melihat tindakan duduk semeja dan berbincang lebih baik dari mencari kata putus di 'jalanan' seperti yang dilakukan oleh pembangkang sebelum ini. Tindakan kerajaan ini di lihat sebagai satu usaha yang terbaik demi menjaga keharmonian dan kepentingan rakyat jelata di negara ini umumnya dan di negeri Perak khususnya....

No comments: