Wednesday, June 10, 2009

Jentera Umno Manek Urai terus digiat

Bharian Online

Kenal pasti masalah dihadapi pengundi

KOTA BHARU: Umno Kelantan tidak akan mengendurkan usaha terus mendekati pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, walaupun maklum balas awal yang diperoleh jenteranya mendapat reaksi positif dari majoriti penduduk.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dali Hussin, berkata gerak kerja menjelang pilihan raya kecil DUN Manek Urai itu akan terus digiatkan mengikut segmen masing-masing bagi mendekati pengundi, termasuk pendekatan bersemuka dari rumah ke rumah.


"Berdasarkan gerakan awal yang dijalankan sehingga kini, kita menerima maklum balas positif dari pengundi, Pas sendiri belum membuat gerakan secara agresif dan oleh itu kita perlu lihat perkembangan sebenar dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, tumpuan Umno ketika ini adalah terus memperkemaskan usaha mendekati pengundi," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai akan diadakan pada 14 Julai ini, manakala hari penamaan calon pada 6 Julai berikutan penyandang kerusi berkenaan, Ismail Yaakob, 60, dari Pas meninggal dunia kerana komplikasi jantung pada 22 Mei lalu.

Dali berkata, jentera Penerangan Umno negeri dengan kerjasama Umno bahagian Kuala Krai sudah mengenal pasti rumah penduduk yang akan dikunjungi bagi mendengar masalah dihadapi mereka selain menerangkan dasar dilaksanakan Barisan Nasional (BN).

Katanya, usaha mendekati pengundi dilakukan mengikut pembahagian tugas iaitu Wanita Umno ditugaskan mengenal pasti masalah wanita manakala Pemuda Umno berperanan mendapatkan sokongan golongan muda di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman, berkata jentera BN bagi pilihan raya kecil Manek Urai akan dilancarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, Sabtu ini.

Selain itu, katanya, pelbagai program lain dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi DUN terbabit termasuk membawa pemimpin Umno dan BN dari peringkat Pusat ke kawasan berkenaan turut dirancang dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.


Mustikaindah: Kalau semua pihak berganding bahu....... masakan Manek Urai tak boleh ditawan semula. Yang perlu dielakkan oleh Pemimpin BN khususnya UMNO, jangan masa kempen pilihan raya saje nampak muka, dah habis kempen....... dah dapat jawatan...... dah dapat 'kerusi', terus hilang entah ke mana. Nak nampak batang hidung pun susah. Rakyat pulak kalau nak jumpa pun kena tunggu pilihan raya akan datang.... Parah macam ni. Masa kempen bukan main berapi-api nak bela nasib rakyat......dah menang, masalah rakyat pun tak nak pandang walaupun sebelah mata. Jangan lah begitu hendaknya.

No comments: