Wednesday, June 17, 2009

Nik Aziz minta Nasharuddin lepas jawatan

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti dan sebagai Ahli Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan. "Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada Pas, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda Pas mahupun dalam kertas pakatan pembangkang. "Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden Pas) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Katanya, cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh "boneka Umno" untuk menimbulkan kecelaruan dalam Pas serta pakatan pembangkang.

Nik Abdul Aziz mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak semalam yang yakin terhadap keikhlasan Pas berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini. Perdana Menteri berkata, beliau mengamalkan sikap terbuka dan sedia mendengar serta menimbang apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh Pas.

Sebagai reaksi, Nasharuddin berkata, Pas berpendirian terbuka untuk perbincangan tentang perpaduan dan bukannya kerajaan perpaduan kerana parti itu melihat ada peluang untuk memberikan cadangan baik kepada kerajaan bagi membantu menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sebagainya.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau kesal dengan pendirian Nasharuddin kerana Pas di Kelantan menerimanya sebagai calon untuk bertanding di Bachok pada pilihan raya umum 2008. Katanya, Pas dan pakatan pembangkang kini sudah masuk perangkap Umno berhubung isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan pecah-belah dalam kalangan mereka. "Orang Umno sekarang ini sedang berpesta kerana Pas sedang berpecah dan pakatan pembangkang sedang berpecah," katanya.

Beliau juga berkata, jika agenda kerajaan perpaduan itu benar-benar ingin dijadikan satu realiti, BN seharusnya melantik pemimpin daripada pakatan pembangkang untuk jawatan menteri. "Kalau semua setuju...Pas jadi menteri, DAP jadi menteri dan Keadilan jadi menteri," katanya. - Bernama

Sumber: Berita Harian Online


Mustikaindah: Nik Aziz mengatakan bahawa cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh "boneka Umno" untuk menimbulkan kecelaruan dalam Pas serta pakatan pembangkang.

Mustika dapat melihat berlaku pergeseran dan percanggahan pendapat dikalangan pemimpin PAS. Siapa benar dan siapa salah bukan persoalannya. Kesimpulan yang dapat Mustika gambarkan dari kenyataan Nik Aziz ini ialah Mursyidul Am PAS ini tidak mahu bermuzakarah dan menjalinkan hubungan baik dengan UMNO. Apa salahnya turunkan sedikit tahap keegoan tu dan cuba dengar pendapat orang lain. Tindakan Nasaruddin tidak salah di mata Mustika. Cuma dia perlu berani mempertahankan pendapat dan pendiriannya. Jangan hangat-hangat tahi ayam saje.

No comments: