Wednesday, April 21, 2010

KAMALANATHAN GUNA PENDEKATAN BERHEMAH DEKATI PENGUNDI

Elak Kempen Fitnah – Kamalanathan

sumber: UMNO ONLINE

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan yakin kepada kempen secara bersih dan telus.

Fitnah sama sekali ditolak oleh anak jati Selangor yang pernah bersusah payah merebut peluang belajar itu.

Sepanjang pengalaman beliau dalam proses perebutan kerusi dalam mana-mana pilihan raya, fitnah merupakan sentimen yang sering dimainkan untuk memancing undi di samping menjatuhkan keperibadian seseorang calon.

“Berdasarkan pengalaman dari siri kempen yang lepas, mewujudkan fitnah merupakan satu kesalahan besar yang harus dielakkan.

“Saya telah berpesan kepada jentera BN kita hanya akan berkempen cara bersih, berpandukan apakah pencapaian saya sebelum ini, apa yang BN mampu lakukan dan apa yang Kamalanathan mampu lakukan jika diberikan peluang oleh para pengundi,” katanya dalam rancangan bual bicara Soal Jawab yang disiarkan di TV3 malam Isnin.

Ketika disoal tentang janji beliau pada penduduk Hulu Selangor, Kamalanathan menegaskan penyediaan keperluan asas akan diberi penekanan dalam agenda kempen beliau.

Kamalanathan berkata antara keutamaan beliau jika menang ialah, penyediaan keperluan asas yang secukupnya, pembangunan tanah-tanah kosong di sekitar Hulu Selangor dan pembinaan kampus baru Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Pembangunan tanah kosong dan kampus UiTM ini dilihat mampu meningkatkan petumbuhan industri-industri di sekitar kawasan sekaligus mampu mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan yang lebih banyak,” katanya lagi.

Selain itu Kamalanathan yang fasih bahasa Melayu, Tamil dan Inggeris serta sedikit Mandarin berkata penguasaan melebihi satu bahasa merupakan satu ‘advantage’ bagi seseorang , khususnya ahli politik.

Beliau berkata setiap rakyat Malaysia harus fasih dalam Bahasa Melayu kerana statusnya sebagai bahasa kebangsaan dapat menghubungkan semua kaum di Malaysia serta dapat mengikat silaturrahim antara rakyat.

No comments: