Friday, August 01, 2008

'DO OR DIE' DI PERMATANG PAUH

OLEH: DR. NOVANDRI (http://novandri.blogdspot.com)

Akhirnya, Anwar Ibrahim akan bertanding di kawasan parlimen milik isteri beliau, Dr Wan Azizah.

Sebelum ini, Anwar Ibrahim dikatakan akan bertanding di parlimen Kulim-Bandar Baharu (klik di sini)

Sebelum itu pula, ialah parlimen Bandar Tun Abdul Razak (klik sini) walau pun kerusi tersebut tidak mungkin akan dikosongkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga merupakan Menteri Besar Selangor sekarang.

Yang menarik perhatian penulis ialah keputusan yang dibuat itu amat berlawanan dengan prinsip Anwar Ibrahim yang pernah mengatakan bahawa PKR tidak akan melepaskan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh parti itu untuk beliau bertanding. Beliau akan bertanding untuk menambah satu lagi kerusi untuk parti PKR.

Akan tetapi, berdasarkan kepada perkembangan semasa dan protokol pilihanraya, Anwar Ibrahim berkemungkinan besar akan menghadapi masaalah untuk layak menjadi calon.

Dan keputusan 'mengejut' melepaskan kerusi parlimen Permatang Pauh dilihat bersangkut paut dengan time frame yang dikejar oleh Anwar Ibrahim.

Buat masa ini, siasatan mengenai kes liwat beliau, baru sahaja selesai (sama waktu dengan keputusan Wan Azizah melepaskan kerusi beliau). (klik di sini)

Dan jika terdapat bukti-bukti yang lengkap, Anwar Ibrahim akan didakwa di mahkamah dan jika beliau di dapati bersalah, Anwar Ibrahim dengan automatik tidak layak untuk bertanding.

Ini adalah kerana, SPR mengatakan bahawa seseorang calon hilang kelayakan jika dia:

Telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak kurang dari RM2000 dan belum mendapat pengampunan.

SPR juga mengatakan bahawa :-

Pilihan Raya Kecil juga diadakan di dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan, sama ada disebabkan kematian, peletakan jawatan atau seseorang Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri itu hilang kelayakan. Dalam hal ini tarikh kekosongan kerusi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya.

Maka untuk memastikan Anwar Ibrahim tidak terlucut secara automatik, beliau mesti bertanding di dalam masa 60 hari ini (selepas Wan Azizah melepaskan kerusi) dan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, jika beliau bersalah.

Inilah time frame yang penulis maksudkan.

Dan perkara yang akan terjadi selepas ini adalah lebih menarik dan mendebarkan iaitu yang mana dulu?

1.Pilihanraya kecil (di dalam tempoh 60 hari ini) ? atau pun

2. Keputusan akhir mahkamah mengenai kes liwat Anwar Ibrahim (yang baru sahaja selesai siasatan) ?

Jika pilihanraya dulu dan berdasarkan kepada rekod PKR di Permatang Pauh, Anwar Ibrahim mungkin akan menang dan menjadi Ahli Parlimen semasa prosiding mahkamah masih dipertengahan jalan.

Bagaimana pun, jika prosiding mahkamah boleh diselesaikan sebelum 60 hari (mulai hari ini) dan jika Anwar Ibrahim bersalah, beliau akan terlucut pencalonan secara automatik.

Walaubagaimana pun, jika kita amati kebanyakan kes-kes di dalam mahkamah hari ini (terutamanya kes-kes yang melibatkan orang 'penting'), kes liwat Anwar Ibrahim akan mengambil masa yang agak lama.

Tempoh itu belum lagi dicampur dengan tempoh jika kes tersebut di bawa ke Mahkamah Rayuan jika Anwar di dapati bersalah.

Kesimpulannya, pilihanraya kecil di parlimen Permatang Pauh akan tetap dijalankan.

Beberapa lagi perkara yang dinanti-nantikan ialah,

1. Siapakah calon BN ?
2. Apakah proses pilihanraya itu berjalan dengan lancar?
3. Apakah kita akan menyaksikan tempoh dan kaedah berkempen yang paling kotor atau pun sengit di dalam sejarah negara Malaysia?

Sama ada Anwar Ibrahim atau pun BN, pilihanraya kecil ini merupakan gelanggang 'kalah mati' @ 'do or die'.

Tidak ada kompromi di dalam keputusan pilihanraya itu.

Bagi pendapat penulis, tidak kira pihak mana yang menang, keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh pasti menukar lanskap dan kerangka politik keseluruhan negara Malaysia!

No comments: