Masakan Husam Musa tidak peka dengan pantang nombor satu DAP bila mendengar perkataan hudud yang hendak di laksanakan bila Pakatan Rakyat memerintah Negara ini! Begitu juga halnya dengan Mursyidul Am PAS yang tentunya menyokong hukum hudud sejak sekian lama.
Telinga Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh dan Tian Chua berdesing setiap kali mereka dengar mana-mana anggota PAS menyebut hukum hudud yang benar-benar menakutkan mereka sekiranya ia menjadi kenyataan.
Sebenarnya, Husam Musa menyebut akan melakanakan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat memerintah semasa wacana bertajuk Transformasi Politik Malaysia bersama Khairy Jamaluddin di Kelantan baru-baru ini cuma kata ‘sekiranya’ sahaja. Ia setahap dengan perkataan ‘kalau’ yang merupakan igauan Pakatan Rakyat semata-mata.
Sedangkan Husam pun tahu untuk PR memerintah negara ini hanya di peringkat angan-angan sahaja. Itu pun mereka sudah silap percaya dengan Penasihat PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu gah mengumumkan 16 September lalu adalah tarikh di mana PR akan mengambilalih kerajaan.
Ia sudah nyata Anwar gagal dan tuhan saja yang tahu bagaimana beliau menanggung malu terhadap isu itu.Sepertimana dakwaan ramai, PAS memang sengaja membangkitkan hukum hudud itu berkait rapat dengan kempen awal untuk meraih perhatian pengundi di Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari akan datang. Kenyataan itu hanya pencetus kempen yang akan PAS jaja semasa kempen itu nanti.
Hukum hudud yang PAS maksudkan itu sebenarnya umum tahu bahawa ia tidak akan berlaku walaupun ditakdirkan menjadi ahli sekutu BN suatu hari nanti. Lebih lagi ia adalah mustahil jika benar-benarlah PR dapat memerintah Malaysia ini yang sekarang pun kedudukan PAS seperti kata Khairy Jamaluddin dalam wacana Transformasi Politik Malaysia lalu kedudukan PAS ibarat retak menunggu belah.
Kata-kata Khairy itu sebenarnya satu kenyataan yang tidak boleh PAS nafikan sama sekali kerana PAS yang tidur sebantal dengan PKR dan DAP sekarang ini mempunyai mimpi yang berlainan. Bukan kata PAS sahaja yang akhirnya nanti akan keluar dari PR berikutan beberapa isu ketegangan selama mereka bersama, PKR dengan DAP pun boleh dijangka akan berebut kuasa kerana sekurang-kurangnya DAP akan mempertikaikan usia PKR yang jauh lebih mentah dari DAP.
Masakan DAP mahu membenarkan PKR menguasai PR kalau mereka berjaya sekali pun mendapatkan tampuk pemerintahan negara ini. Mereka akan terus bercakaran.
Sekarang ini, masing-masing play safe kerana PKR hanya ada satu negeri untuk cakap banyak. DAP ada dua negeri sementara PAS ada dua negeri. Itupun sifat PKR seolah-olah mengetuai PR apabila Anwar Ibrahim dijadikan ketua pembangkang di Parlimen dan penasihat kepada PR hanya buat sementara waktu belum dapat.
Jika PAS mahu benar-benar melaksanakan hukum hudud, PAS kena dapatkan status pemerintahan mutlak secara bersendirian. Selagi ia bersama DAP dan PKR, selagi itulah PAS hanya akan menyanyi seorang diri tanpa back-up latar dari pihak lain. Tinggallah hukum hudud itu menjadi topik kekal menghiasi manifesto pilihan raya semata-mata.
Melihatkan keadaan hari ini, Datuk Nik Aziz Nik Mat sahaja yang menjadi mentor dan tempat rujukan PAS selagi hayatnya ada. Sebaik sahaja ketiadaan Nik Aziz nanti, nescaya corak PAS akan berubah. Malah generasi muda PAS hari ini pun sudah sedikit demi sedikit menolak pandangan Nik Aziz dalam banyak perkara sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Oleh Salim Selamat
No comments:
Post a Comment