Monday, May 10, 2010

15 NAZIR MASJID SELANGOR INGKAR ARAHAN SULTAN

sumber: Berita Harian Online


SHAH ALAM: Seramai 15 nazir masjid di Selangor diberi amaran keras kerana mengingkari arahan melarang mana-mana pihak menggunakan masjid di negeri itu sebagai tempat berpolitik. Sambil melahirkan rasa kesal dengan sikap nazir yang gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata larangan berpolitik itu perlu dipatuhi kerana ia tertakluk mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Beliau berkata, amaran lebih tegas, termasuk memecat nazir akan dikenakan selepas ini jika mereka terus mengingkari arahan berkenaan.

"Kaedah Tauliah mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor sudah menyatakan secara jelas melarang semua pihak mengadakan ceramah dalam masjid yang berunsurkan politik, fitnah, menghasut dan menyakiti pihak lain," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu menghadap Sultan Selangor berhubung titah baginda yang melarang penggunaan masjid sebagai tempat politik.

Mohammed Khusrin berkata, Jais sudah meletak papan kenyataan berhubung larangan berpolitik di masjid dan surau di negeri itu. Antara lain papan kenyataan itu dengan jelas menyebut mana-mana pihak yang mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Sultan Selangor atas sifatnya sebagai Ketua Agama Islam di Selangor adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. Enakmen itu memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di KAJANG, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Noh Omar merayu Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya tidak melayan permintaan Zaid, yang mahu menghadap baginda bagi menjelaskan maksud artikel Penyelaras Pakatan Rakyat dalam blog peribadinya berhubung larangan Sultan Selangor itu.

“Amat malang, Zaid sebagai seorang peguam hanya tahu mengenai undang-undang sivil, tetapi tidak belajar undang-undang syariah. Zaid perlu tahu di Selangor, titah baginda adalah arahan yang perlu dihormati,” katanya yang turut menyifatkan tindakan Zaid itu biadap.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani memberitahu pemberita demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Tani Pekan Batu 14, di sini, semalam.

Di KOTA BHARU: Zaid mendakwa beliau tidak membuat sebarang kesilapan kerana tafsiran yang dibuatnya dalam artikel itu mengikut undang-undang negara.

“Justeru, saya tidak perlu minta maaf terhadap pihak istana. Kontroversi timbul disebabkan ada pihak tidak faham perkara itu,” katanya
____________________________________________________________

Mustikaindah: sudah diberi amaran, sudah diberi peluang untuk 'bertaubat' tapi masih degil dan mengulangi kesilapan demi kesilapan yang terang terangan adalah salah dan tidak beretika. Tak reti bahasa betul mereka ni. Masjid adalah tempat ibadah yang suci bagi penganut agama Islam, namun sering kali dicemari dengan tindakan bodoh dan tidak bermoral pemimpin dan pengikut parti yang sudah hampir reput (Pakatan Rakyat).

Walau diberi kata dua oleh pemimpin tertinggi negeri iaitu DYMM Sultan, namun mereka tetap ingkar dan mempersendakan titah DYMM Sultan. Seolah-olah "siapalah sultan mahu menghalang kami?", kurang ajar betul manusia-manusia 'zaman batu ni'. Mustika yakin mereka (pakatan rakyat) melihat masjid sebagai medan terbaik untuk 'berdakwah' kerana kalau buat di tempat lain, orang tak mahu datang pun, sebab tulah masjid jadi medan penyampaian 'pidato umum' terdesak mereka.

No comments: