Tuesday, May 13, 2008

WANITA MALAYSIA TIDAK DI PINGGIR

Dari segi kesamaan gender, kerajaan telah melakukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk memperkasakan wanita. Sejak Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995), pembangunan wanita tidak pernah diabaikan. Dakwaan MP Tenggara bahwa wanita di Malaysia dipinggirkan adalah tidak berasas sama sekali. Wanita di Malaysia diberi peluang yang sama rata dalam bidang pendidikan supaya mereka juga boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Malah, lebih banyak wanita menuntut di institusi pengajian tinggi berbanding lelaki di Malaysia. Pada 2006, 62 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar adalah wanita dan jumlah ini meningkat setiap tahun.
Kita harus bersyukur kerana wanita di Malaysia tidak pernah dipinggirkan. Ini kerana dapat kita lihat, di sesetengah negara, kaum wanita tidak dibenarkan langsung untuk memandu kereta, mengundi dalam pilihan raya atau bekerja. Walaupun jumlah tenaga wanita tetap sama dan tidak berubah secara relatifnya antara tahun 1975 dan 2002, tetapi terdapat perubahan ketara daripada segi corak pekerjaan yang dilakukan mereka. Perkadaran wanita yang bekerja dalam bidang pertanian telah menurun daripada 40.5 peratus kepada 27 peratus antara kedua-dua tempoh itu. Juga terdapat peningkatan yang ketara di mana bilangan wanita dalam bidang kewangan, insurans, sektor hartanah dan perkhidmatan perniagaan meningkat selain perdagangan borong dan runcit, sektor perhotelan dan restoran. Dan ramai yang memegang jawatan tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta. Mereka termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Datuk Zarinah Anwar, Yvonne Chia, Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Bank dan Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Banking Group Datuk Bridget Lai.
Kerajaan amat berbangga kerana wanita dilihat sebagai aset penting kepada negara. Wanita hari ini dilihat bukan lagi berdiri di belakang seorang lelaki tetapi berdiri di sebelah lelaki malah ada yang sudah berdiri di hadapan lelaki... Sebenarnya Mustika hanya menyenaraikan sebilangan kecil usaha-usaha kerajaan dalam memperkasakan dan membela nasib kaum wanita yang pada dasarnya terlalu banyak untuk dibincangkan.

No comments: