Thursday, July 03, 2008

EMPAT AHLI PARLIMEN BN NAFI LOMPAT PARTI

UTUSAN ONLINE 3 JULAI 2008

LA LUMPUR 2 Julai - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan laporan sebuah laman blog yang mengaitkan mereka akan menyertai pembangkang sebagai tidak masuk akal.

Malah kedua-duanya juga menegaskan kesetiaan mereka kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah berubah.

Ismail Sabri berkata, adalah merupakan satu kerja gila sekiranya beliau memutuskan untuk menyertai pembangkang.

''Dari segi logik kalau awak fikir, saya Menteri Kabinet sekarang, apa hal saya nak lompat masuk parti yang tak tahu hala tuju itu.

''Tak mungkin, gila. Kita dok elok-elok tiba-tiba nak melompat ke arah yang tak tahu ke mana. Tak ada sebab langsung dan laporan ini saya anggap saja nak menyedapkan cerita.

''Saya percaya, ada orang lain lagi akan dikaitkan pula lepas ini, jadi pemberita tunggulah banyak kerja lagi," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah laman blog yang mendakwanya dan Saifuddin antara wakil daripada BN yang akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, ditanya apakah beliau pernah mengadakan pertemuan dengan mana-mana pemimpin PKR, Ismail Sabri berkata, dakwaan tersebut tidak ada asas sama sekali.

''Saya tak berkawan pun dengan dia orang ini, dalam Dewan pun tidak, di luar Dewan pun tidak. Saya tak kenal pun Anwar dan Anwar pun tak kenal saya.

''Jadi usahkan saya nak adakan pertemuan, nak berkawan pun tidak. Jadi ini (laporan blog) kerja gila dan tidak masuk akal, itu perkataan paling senang," tegasnya.

Sementara itu, Saifuddin menegaskan, beliau tidak pernah terfikir sama sekali untuk meninggalkan UMNO di mana beliau menjadi ahli seumur hidup.

Katanya, pertemuan yang didakwa itu juga tidak ada asas kerana telah lebih 10 tahun beliau tidak bertemu dengan Anwar di samping sudah lama tidak ke luar negara seperti yang dikatakan pertemuan tersebut berlaku.

''Saya tidak akan menghampakan pengundi saya di Parlimen Temerloh yang memilih saya atas tiket BN dan begitu juga kepercayaan yang telah diberi Perdana Menteri.

''Memang laporan ini mengejutkan saya hingga saya ditanya bertubi-tubi pagi ini. Namun saya anggap laporan blog itu hanya satu spekulasi politik yang sama sekali tidak ada asas,'' jelasnya.

Dalam pada itu, dua Ahli BN dari Sarawak, Datuk Richard Riot Jaem (Serian) dan Datuk Dr. Tiki Lafe (Mas Gading) yang juga disebut-sebut akan melompat parti menafikan mereka akan menyertai pakatan pembangkang.

Kedua-duanya mengakui mereka masih anggota BN dan tidak akan sama sekali meninggalkan parti itu hanya untuk menyertai pakatan pembangkang.

''Kami akan selalu menjadi orang BN," kata Tiki ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, pihak media seolah-olah menggambarkan beliau dan Richard akan menyertai pakatan pembangkang sedangkan ia tidak benar.

Sementara itu, Riot memberitahu, Anwar tidak pernah menghubunginya.

''Saya tidak pernah dihubungi Anwar dan saya juga tidak menghubungi beliau. Saya juga tiada nombor telefon beliau dan tidak pernah bertemu secara peribadi dengannya.

''Saya tidak tahu di mana khabar angin ini bermula," jelasnya.

Tiki adalah Naib Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam Kabinet sebelum ini manakala Riot pula adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

______________________________________

MUSTIKA: Anwar sudah terbukti suka berbohong. Penipu besar!!!

No comments: